SUNGAI PETANI - Semua kakitangan awam yang bertugas atau berasal dari Kedah termasuk pesara kerajaan perlu merebut peluang memiliki kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran Oriental Interest Berhad (OIB), Beh Suan Sim berkata, OIB melalui anak syarikat naungannya OIB Properties (KV) Sdn Bhd di Bedong menawarkan 600 unit PPA1M di Taman Permaipura yang berkeluasan 17.676 hektar.

“Untuk fasa pertama, sebanyak 240 unit kediaman mewah dan eksklusif yang pasti mampu dimiliki iaitu rumah teres satu tingkat bernilai RM184,790 dan rumah teres dua tingkat bernilai RM274,921 dibina dekat lokasi strategik berhampiran dengan akses ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Kelab Golf Permaipura.

“Daripada jumlah unit rumah ditawarkan, 60 peratus unit rumah teres satu tingkat dan 40 peratus rumah teres dua tingkat sudah terjual. Untuk pembeli melihat dengan lebih dekat rumah kediaman yang mahu dibeli, dua rumah contoh berbeza fasa pertama projek bawah skim perumahan kerajaan dilancarkan OIB,” katanya.

Dua unit rumah contoh PPA1M itu dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, di Taman Permaipura, Bedong, di sini.

Suan Sim berkata, projek fasa pertama itu mula bina pada Januari tahun ini dan dijangka siap Disember 2018.

“Sementara, baki 360 unit rumah teres satu tingkat dan teres dua tingkat akan dibina di Zon A dan Zon B mengikut fasa kedua hingga ke empat,” katanya.

Sementara itu, Badrol Hisham berharap, semua penjawat awam di negeri merebut peluang itu untuk memiliki kediaman.

“Di Kedah, kita mendapat banyak kelulusan untuk PPA1M dan kita mendapat sokongan penuh pejabat Ketua Setiausaha Negara  (KSU) dan kerajaan negeri sedia membantu sekiranya ada permohonan berhubung projek perumahan ini.

“Setakat ini, sebanyak 8,000 unit rumah PPA1M dibina di seluruh Kedah terutamanya melibatkan kawasan bandar seperti di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu mempromosikan PPA1M kepada penjawat awam di negeri ini dan kepada pesara kerajaan termasuk kakitangan badan-badan berkanun kerajaan negeri ini.

“Kakitangan badan-badan berkanun seperti Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan lain-lain agensi bawah kerajaan negeri boleh mendapatkan keistimewaan yang sama,” katanya.

Selain Taman Permaipura di sini, syarikat OIB memajukan dua lagi projek membabitkan Taman Sinar Intan 3 di sini dan Taman Serai Wangi di Kulim.

Tiga projek dilancarkan itu membabitkan 1,382 unit rumah membabitkan nilai keseluruhan RM430 juta.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Enam sekeluarga di Kampung Gong Beris, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian berlaku lebih kurang jam 7.20 pagi, tadi.
  • ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengekalkan penetapan kadar pemilikan hartanah kediaman bagi warga asing pada harga minimum RM1 juta.
  • MUAR - “Saya rasa lega tak perlu lagi nak nyalakan lilin, rumah pun dah ada bekalan elektrik selain cantik, selesa dan selamat,” kata Loh Ah Lek, 78.
  • JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal akhirnya berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa apabila menerima rumah baharu di Kampung Baru Sri Aman, di sini.
  • KUANTAN - Bapa kepada lima anak memohon ihsan semua pihak untuk menyediakannya sebuah rumah bagi membolehkan dia dan anak tinggal dengan selamat.