BUKIT MERTAJAM - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan selepas berjaya memperoleh dua anugerah daripada Persatuan Air Malaysia (MWA).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, dua pengiktrafan terbabit ialah anugerah pencapaian industri air MWA 2018 (Loji Rawatan Air Terbaik) untuk Loji Rawatan air Sungai Dua dan Anugerah Air Malaysia untuk Pengurusan 2018 yang diberikan kepadanya.

Jaseni berkata, sejak pengkorporatan PBAPP pada 1999, permintaan air harian di Pulau Pinang meningkat sebanyak 54 peratus daripada 536 juta liter sehari pada 1999 kepada 826 juta liter sehari pada 2017.

“Selama bertahun-tahun PBAPP menguruskan Loji Rawatan Air Sungai Dua dengan teliti untuk memastikan bekalan air yang berterusan untuk rakyat di negeri ini dan sehingga 2018 ia menghasilkan lebih daripada 80 peratus air terawat yang disalurkan ke seluruh Pulau Pinang.

“Kini loji berkenaan merupakan yang terbesar di Malaysia dengan kapasiti air terawat maksimum sebanyak 1,228 juta liter sehari,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Empangan Mengkuang di sini semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai anugerah kedua yang diterimanya, Jaseni berkata, anugerah terbabit mengiktiraf pengurusan cemerlang dalam bidang kejuruteraan air yang menyokong beberapa inisiatif  digariskan.

“Sebagai penerima individu, saya ingin dedikasikan anugerah ini kepada seluruh pasukan PBAPP yang bekerja keras,” katanya.