LANGKAWI - Pas mempertaruhkan Yang Dipertua Pas kawasan Langkawi, Zubir Ahmad, 55, sebagai calon Parlimen Langkawi untuk mencabar Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, 9 Mei depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi pada sidang media di Kompleks Pas Kedah, siang tadi.

Zubir yang bertanding buat kali keempat di pulau legenda itu dipilih pimpinan Pusat selepas Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) menarik diri bertanding di Langkawi.

Ahmad Fakhruddin berkata, parti itu yakin calon anak tempatan ini mampu menyaingi populariti bekas Perdana Menteri itu.

“Pas yakin pada kemampuan Zubir untuk berikan saingan sengit memandangkan beliau orang lama dalam parti,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, Zubir kembali dipertaruhkan di Langkawi berdasarkan kepada perubahan senario politik.

“Kehadiran Pas jangan dipandang sepi, ibarat ‘nyamuk nampak halus, tapi gajah pun mampu tewas pada nyamuk’,” katanya.

Beliau  turut mengumumkan pertukaran calon Parlimen Jerai Naib Yang Dipertua Pas kawasan Jerai, Sabri Azit, 52, akan bertanding di Parlimen Jerai, menggantikan Mohamad Ismail.