BATU KAWAN - Mayat lelaki yang sebelum ini dilaporkan terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini ditemui sekumpulan nelayan lima kilometer daripada lokasi kejadian, tengah hari, hari ini.

Lelaki berusia 40-an dilihat menghentikan motosikal ditunggang dari arah Batu Kawan menghala batu Maung sebelum terjun di Kilometer 15.7 di jambatan berkenaan pada jam 11.49 malam, semalam.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan II Azhar Samsuddin berkata, pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian.

“Ketika sampai di lokasi kejadian kita hanya menemui motosikal mangsa yang ditinggalkan di atas jambatan sebelum melakukan pemeriksaan dan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi turut dibantu Polis Bantuan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi di sini.

Azhar berkata, mayat yang ditemui kira-kira jam 12.50 tengah hari dalam keadaan berkemeja biru dan berseluar hitam itu kemudian dibawa ke Jeti Polis Merin di Batu Uban sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.