TELOK AIR TAWAR - Sudah tiba masanya padang bola di Kampung Pekan Darat, di sini, dinaik taraf berikutan keadaan padang yang ditumbuhi akar pokok-pokok tua sejak sekian lama.

Penduduk, Mohd Syarifuddin Sulaiman, 25, berkata, sebelum ini pernah ada kejadian penduduk yang tersepak akar pokok berkenaan ketika bermain bola.

Menurutnya, ia menyebabkan kecederaan dan penduduk tidak mahu kejadian sama berulang.

"Golongan muda memang guna padang ini untuk main bola.

"Bahagian tengah memang tak ada apa-apa, cuma bahagian tepi memang banyak akar-akar pokok tua nak bawa bola sampai tepi pun kadang takut tersepak akar ini," katanya.

Adi Mukhlis Sabri, 25, berkata, padang bola di Pekan Darat itu turut menjadi padang latihan bagi kelab bola sepak Mutiara Soccer Club.

“Memang pemain guna padang ini untuk latihan fizikal dan kecergasan. Akar pokok ini kalau dibiarkan bahayakan pemain," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Komuniti Negeri (JKKKN) Pekan Darat, Saridan Jakpar berkata, keadaan sebegini tidak boleh dibiarkan.

"Sebelum ini ada buat aduan tapi masing-masing dok main tarik tali  mengenai status padang ini," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Kadun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad berkata, perkara itu telah dimasukkan  dalam mesyuarat majlis jawatankuasa tindakan daerah untuk perhatian.