GEORGETOWN - Sistem Transit Ringan (LRT) berkemungkinan bukan pilihan terbaik sebagai salah satu pengangkutan awam bagi Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dari kajian yang dibuat, ia menunjukkan bahawa LRT mungkin bukan pilihan terbaik untuk dilaksanakan di Pulau Pinang.

Oleh demikian, pihak kementerian telah mencadangkan pilihan pengangkutan awam lain yang lebih sesuai dengan negeri ini.

"Saya telah meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang masih beroperasi sehingga penghujung tahun, untuk memberi taklimat kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai penemuan kajian tersebut dan tindakan selanjutnya yang boleh diambil.

"Pertemuan antara pengurusan atasan SPAD dan Kon Yeow akan diadakan dalam masa terdekat. SPAD akan berunding mengenai kehendak Kerajaan Pulau Pinang. SPAD akan menyarankan jenis pengangkutan awam yang lain seperti trem selain dari LRT," katanya kepada media tadi.

Kerajaan Pulau Pinang telah memohon kelulusan SPAD untuk laluan LRT dari Bayan Lepas ke Georgetown sejak 2016 yang mana, cadangan pembinaan pengangkutan awam itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang telah menghantar permohonan untuk kelulusan pembinaan LRT pada 2016.

Menurutnya, kerajaan negeri dimaklumkan agar menunggu sehingga keputusan kajian mengenai sistem pengangkutan awam wilayah utara diperolehi.

"Dimaklumkan, SPAD sudah siap dengan kajian itu baru-baru ini. Saya harap selepas ini mereka akan berhubung dengan kerajaan negeri untuk kita membuat pilihan sama ada LRT, trem, BRT atau MRT.

"Kerajaan negeri terbuka kepada pilihan yang diberikan dan jika ia dapat memperoleh pembiayaan, kerajaan boleh melaksanakan projek pengangkutan awam tersebut. Namun, kita akan lihat dahulu pilihan yang akan diberikan SPAD nanti," katanya.