GEORGETOWN - Empat sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah pada dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes tersebut.

Ahmad Syazwan Fauzi, 23; Famizairul Aqahmar Abdul Aziz, 19; Mohamad Helmi Umar, 26 dan Muhammad Huzaifah Ghazali, 25, didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Ogos 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama kira-kira jam 11.10 malam bertempat di kawasan letak motosikal bersebelahan dengan tempat letak kereta bertingkat Taman Sri Pinang, Jalan Petani didakwa mengedar dadah  jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 15.9 gram.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta yang sama dan dibaca bersama dibawah Seksyen 34 Kanuk Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Abdul Wahab dalam penghakiman berkata, empat sahabat itu telah didatangi anggota polis untuk membuat pemeriksaan ketika mereka sedang berbual di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihak polis telah melakukan pemeriksaan anggota badan terhadap kesemua tertuduh selama 10 minit dan memeriksa kawasan sekitarnya sebelum menjumpai satu bungkusan plastik yang mengandungi bungkusan kecil dipercayai dadah.

“Plastik itu dijumpai atas jalan iaitu tempat awam, bermakna orang lain boleh mencapai barang itu. Hasil ujian tiada cap jari tertuduh pada plastik itu dan barang-barang yang ada dalam plastik tersebut.

“Pendakwaan telah buat pemerhatian selama tiga minit, tak ada siapa yang sentuh atau lihat pada beg plastik tersebut.

“Juga tak dapat dipastikan macam mana, bagaimana dan siapa yang ada capaian terhadap dadah itu. Banyak kemungkinan boleh berlaku.

“Setelah mengambil kira keterangan tertuduh dan membuat penilaian maksimum, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Tertuduh diwakili empat peguam iaitu Muhammad Arif Shaharuddin, K.Kumaran, RSN Rayer dan R.Dev Chander.

Selepas keputusan itu, RSN Rayer bangun dan memohon kepada mahkamah supaya dibuka segera gari pada tangan semua tertuduh.