GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mengalami sakit di bahagian belakang badan dan perut didakwa dibaling kasut dan dipukul gurunya.

Kejadian yang menimpa murid sekolah rendah itu disedari ibunya lewat petang semalam selepas mangsa mengadu sakit di beberapa bahagian badannya.

Menurut ibu mangsa, anaknya mendakwa selain dipukul, guru tersebut juga membaling kasut kepadanya.

Mangsa juga mendakwa, guru itu juga menyimbahnya dengan air sehingga pakaian sekolah mangsa basah.

Susulan kejadian itu, mangsa trauma untuk ke sekolah.

Bimbang dengan keadaan anaknya, ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan laporan terbabit.

Menurutnya, polis kini sedang mengambil kenyataan daripada mangsa dan ibunya.