GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat seorang  exconya berhubung isu sebuah kilang haram memproses abu kayu di Kampung Sungai Lembu, Permatang Pauh.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau percaya kepimpinan kerajaan negeri khususnya Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh tidak menerima sebarang suapan ataupun wang dalam isu tersebut.

“Barisan kepimpinan kerajaan negeri, DAP dan Pakatan Harapan akan berdiri 100 peratus bersama Boon Poh. Kita percaya belau tidak ada kepentingan peribadi dan tidak ada hubungan kekeluargaan dengan kilang tersebut.

“Kami juga percaya beliau hanya menjalankan tugasnya untuk melaksanakan dasar kerajaan negeri sebagai ahli exco,” katanya kepada media selepas hadir menyatakan solidariti kepada Boon Poh di pekarangan kompleks Mahkamah Georgertown, di sini, semalam.

Menurutnya, kilang haram di Sungai Lembu, Permatang Pauh itu adalah beroperasi di tanah sendiri sebelum 2008 iaitu ketika pentadbiran BN.

“Sebaik kita menjadi kerajaan pada 2008, kita tentu menghadapi masalah yang diwarisi daripada kerajaan lama (BN) iaitu masalah pengusiran ke atas bangunan haram, penjaja haram dan juga rumah ibadah haram.

“Kami membuat keputusan sebaik menjadi kerajaan pada 2008 bahawa bangunan haram, penjaja haram dan rumah ibadah haram tidak akan disentuh kecuali ia mengganggu orang awam serta aliran trafik,” katanya.

Jelasnya, ia merupakan dasar yang digunakan kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

“Ada juga rumah ibadah haram dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, tetapi kita tidak benar ia dirobohkan sebaliknya kita mencari jalan penyelesaian.

“Apa yang kita lihat hari ini seakan-akan sekiranya tidak diambil tindakan ke atas bangunan haram itu, boleh ditahan dibawah SPRM. Saya tidak tahu sama ada ini adalah kedudukannya sekarang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.