KUALA NERANG - Ketiadaan bekalan air sejak akhir-akhir ini di Kampung Seberang Kelompang, Pong Utara, Mukim Tekai Kanan, di sini menyebabkan penduduk di kawasan itu mulai resah menyebabkan aktiviti harian mereka turut terjejas.

Penduduk, Mohd Zaidi Romli, 30, berkata, masalah itu bermula sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini kawasan itu tidak mempunyai sebarang masalah tetapi sejak akhir-akhir ini hanya waktu tengah malam sahaja bekalan air dapat disalurkan kepada penduduk di situ.

"Penduduk dapat guna air dari jam 12 malam hingga 5 pagi saja menyebabkan aktiviti harian kami terjejas, malah ada penduduk terpaksa beli air minuman di kedai," katanya.

Mohd Zaidi berkata, sekiranya ada majlis kenduri, mereka terpaksa menggunakan pinggan pakai buang berikutan masalah air yang dihadapi. 

"Saya dah berusaha pelbagai cara dengan beli enjin untuk tingkatkan tekanan air tapi masih tak ada sebarang perubahan.       "Sekarang air tak ada langsung menyebabkan kami buntu sekiranya saudara pulang berhimpun di kampung," katanya.

Tambahnya, setiap malam dia terpaksa berjaga untuk menyimpan air hingga awal pagi.

"Saya rasa terbeban lebih-lebih lagi perlu bangun untuk bekerja pula keesokan harinya," katanya. 

Md Hussin Hamid, 73, pula berkata, kegagalan pihak berkenaan membekalkan air kepada penduduk di situ menyebabkan mereka terpaksa mencari pelbagai sumber air lain  bagi mengatasi masalah itu.

Menurutnya, sejak masalah bekalan air berlaku di kampung itu, dia terpaksa membeli dua tong air bernilai RM200 untuk menyimpan air bagi kegunaan harian.

"Saya terpaksa beli kerana bimbang selain dari kegunaan harian, anak cucu juga selalu pulang dan bermalam di rumah.

"Masalah tak ada air ini juga menyebabkan mereka kadang kala malas mahu pulang," katanya.

Tambahnya, penduduk kecewa kerana selama mereka menghadapi masalah itu, pihak berkenaan tidak pernah menghantar air untuk kegunaan harian.

"Sepatutnya wakil Syarikat Air Darul Aman (Sada) turun berbincang dan memaklumkan kepada kami punca sebenar masalah yang berlaku," katanya. 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, kawasan itu kini dalam proses penggantian paip yang sedia ada di loji Padang Kerasak dan Kuala Nerang. Bagaimanapun masalah itu akan selesai pada hujung tahun ini.