SUNGAI BAKAP - Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya setelah tiga hari menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini.

Menurut sumber, Allahyarham sebelum ini mengalami jangkitan paru-paru.

Allahyarham yang berusia 70 tahun meninggalkan isteri, Datin Seri Rabaayah Md Naim dan tiga orang anak.

Difahamkan juga jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Tambun Indah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Bakap selepas solat Asar.

Antara jawatan yang pernah disandang Abdul Rashid dalam kerajaan pada sekitar tahun 1970-an ialah Penolong Setiausaha, Kementerian Penerangan Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelidikan Sosioekonomi Jabatan Perdana Menteri dari 1988 dan 1989.

Beliau kemudian membuat keputusan menceburi politik sepenuh masa pada 1993 dan menjadi Adun Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2004.