ALOR SETAR - Bajet Kedah 2018 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilihat mengkagumkan rakyat, namun ia tidak lebih daripada untuk menarik sokongan politik rakyat menjelang PRU14.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi berkata, walaupun Pas menyokong perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat, namun pada masa sama masih ada keutamaan diberikan kepada perkara yang merugikan rakyat.

“Pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat adalah usaha yang baik, namun adakah pemberian itu dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami rakyat? Tidak dinyatakan usaha yang akan dibuat oleh kerajaan bagi mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW) mencecah 46.7 peratus daripada sumber air bersih?,” katanya.

Menurutnya, apakah status permohonan RM 50 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk penambahbaikan infrastruktur antaranya bagi penggantian paip asbestos berusia lebih 30 tahun seperti dinyatakan Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim tahun lalu.

“Perinciannya tidak dinyatakan secara jelas. Pemberian air percuma itu seolah mahu menutup pelbagai kelemahan dalam pengurusan air yang kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Ahmad Fakhrudin berkata, rakyat pastinya tertanya-tanya apakah rasional projek bekalan air luar bandar menerusi peruntukan pinjaman yang menelan belanja hampir RM 1 billion bagi menaik taraf lima logi rawatan air, sedangkan Kerajaan Persekutuan boleh memperuntukkan sejumlah geran kepada Kedah bagi menaik taraf prasarana itu.

“Jawapan diberikan Ahmad Bashah pada sesi penggulungan masih tidak meyakinkan, termasuk kontrak dua syarikat konsesi air yang akan tamat tempoh 2020,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga dilihat lebih berminat untuk berbelanja besar dengan kadar defisit tinggi apabila menganggarkan RM 75.72 juta defisit pada 2018.

“Sebaiknya, kerajaan berusaha minimumkan jangkaan kadar hutang negeri kepada kerajaan Persekutuan dengan pelan strategik menerusi peningkatan hasil negeri serta berhemah berbelanja dalam menghadapi ketidakstabilan ekonomi global,” katanya.

Ahmad Fakhrudin berharap kepimpinan negeri ini mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf a.s ketika mencadangkan rancangan tujuh tahun kepada Raja Mesir yang akhirnya menyelamatkan seluruh rakyat negara itu daripada musibah kemarau dan krisis kebuluran.

“Bajet Kedah 2018 tidak ubah umpama bajet pilihan raya, rakyat masih tertunggu-tunggu apa lagi ‘hadiah’ yang akan diberikan. Jika kerajaan beri, rakyat ambil, tetapi undi belum pasti kepada BN,” katanya.