YAN - Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) menitiskan air mata tanda syukur apabila menerima sumbangan wang ehsan mangsa banjir tahun lalu di Masjid Jamek Badlishah, pagi tadi.

Fazil Abu Yazis, 54, berkata, pemberian wang ehsan sebanyak RM500 itu memberi nilai yang sangat besar buat dirinya

"Kaki saya terpaksa dipotong selepas menghidap kencing manis tahap kritikal pada 2003.

"Setelah itu, saya tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan hanya bergerak guna kerusi roda," katanya selepas menerima wang sumbangan itu daripada  Penyelaras Dun Sg Limau, Datuk Norma Awang.

Fazil yang tinggal berdua bersama isterinya, Hasni Othman, 60, di Kampung Lubok Boi turut mendapat wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan.

"Isteri saya ada jual keropok dan air di hadapan sekolah dan boleh la dapat RM13 hingga RM15 sehari.

"Kalau sekolah cuti memang kami suami isteri harap duit yang JKM bagi saja lah," katanya.

Menurut Fazil, dia akan menggunakan wang yang diterimanya itu untuk membeli kerusi roda baharu memandangkan kerusi roda sekarang sudah pun rosak.

"Kerusi roda sekarang dah rosak banyak sebab semua benda saya bergantung dengannya, daripada nak mandi, solat semua guna kerusi roda yang sama," katanya.

Dalam pada itu, seramai 85 penduduk sekitar Yan yang terlibat dengan bencana banjir tahun lalu menerima wang ehsan berkenaan.