KUALA TERENGGANU - Zakat ar-riqab yang diluluskan Majlis Fatwa Selangor bertujuan membantu memulihkan golongan songsang daripada dibelenggu gaya hidup bertentangan syariat Islam.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Timur, Mahadi Awang berkata, zakat itu tidak diberi terus kepada individu berkenaan, sebaliknya dibelanjakan bagi tujuan mengembalikan mereka kepada fitrah Islam sebenar.

"Ar-Riqab bermaksud hamba. Kalau zaman dulu, bebaskan hamba tapi, zaman sekarang dah tak ada hamba, jadi, maksud ar-riqab diperluaskan kepada orang yang dibelenggu gaya hidup sonsang sama ada terpesong akidah, gaya hidup atau amalan harian.

"Jadi, zakat ini untuk bebaskan golongan itu melalui rawatan dan pemulihan supaya mereka dapat kembali menjalani hidup Islam yang diredhai ALLAH," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai laporan berita tempatan, 10 golongan songsang layak terima zakat yang menimbulkan polemik, kelmarin.

Mahadi berkata, antara bantuan diberikan seperti kelas pemulihan agama dan program keagamaaan seperti mukhayyam (perkhemahan).

"Selain itu, bantuan turut diberikan kepada rumah badan bukan kerajaan (NGO) Muslim bagi membantu golongan Muslim yang dijangkiti HIV.

"Penyaluran bantuan ini dipantau oleh jabatan agama agar objektif membantu saudara seagama kita dilaksana dengan baik," katanya.