KEMAMAN - “Mereka berdua wira hingga akhir nafas, saya yakin mereka sedaya upaya lencongkan pesawat hingga jet itu tak terhempas di kawasan rumah penduduk sebaliknya terjunam di hutan paya bersebelahan kampung kami.

Demikian kata Siti Zamilah Mohd Hussin, 27, saksi nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mengorbankan dua juruterbangnya.

Siti Zamilah berkata, setiap kali mengenangkan pengorbanan besar Allahyarham Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, air matanya akan mengalir.

Menurutnya, walaupun tragedi pilu itu telah berlalu beberapa hari namun sehingga kini setiap kali mahu memejamkan mata untuk tidur dia pasti akan terbayang kelibat dua juruterbang yang memakai payung terjun melayang di langit.

“Saya tak dapat bayangkan kalau pesawat itu terhempas di kawasan rumah tambah-tambah lagi saya, suami dan anak-anak waktu itu ada di halaman rumah.

“Begitu luhurnya hati dua juruterbang TUDM ini. Bila tahu mereka berdua maut, saya amat sedih lebih-lebih lagi mereka tinggalkan isteri dan anak-anak semasa hari raya dah dekat," katanya.

Sebagai seorang isteri dan ibu dia memahami perasaan balu kedua-dua arwah saat ini.

"Saya harap mereka tabah hadapi ujian ini,” katanya.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis lalu, ibu tiga anak itu melihat kedua-dua mangsa sedang melayang di udara di belakang rumahnya di Kampung Pondok Pasir, di sini, hanya beberapa kilometer dari lokasi pesawat itu terhempas iaitu di hutan paya Kampung Yak Yah.

Menceritakan lebih lanjut apa yang dilihatnya, Siti Zamilah berkata, seorang daripada mangsa memandang ke arahnya sambil membuat isyarat kecemasan iaitu dengan menyilangkan tangan membentuk seperti tanda pangkah berulang kali.

“Saya orang kampung, tak tahu itu isyarat kecemasan. Sebab itu bila mangsa beri isyarat, saya lambai-lambai padanya.

“Saya sangka mereka berdua tengah buat latihan terjunan payung terjun kerana pernah di Padang Astaka, Chukai sebelum ini dibuat pertunjukan payung terjun. Waktu itu saya tengok kedua-dua payung terjun yang dipakai terbuka elok,” katanya.

Bagaimanapun, selepas mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku selepas melihat ada helikopter berlegar-legar di udara sejurus dia melihat kelibat dua lelaki berpayung terjun itu dia pergi ke pos operasi nahas yang dibuka di Kampung Yak Yah lalu memaklumkan apa yang disaksikannya.

Siti Zamilah berkata, ekoran lambat memaklumkan apa yang dilihatnya itu, dia turut menerima kecaman dan tohmahan oleh masyarakat sekitar.

Meskipun sedih dengan tohmahan itu hingga tekanan darahnya naik namun Siti Zamilah bersyukur kerana dapat memberi pertolongan dengan menyalurkan sedikit maklumat.

Dalam pada itu, jiran Siti Zamilah, Faridah Che Mat, 53, berkata, sangkaannya bahawa pesawat itu terbenam dalam tanah adalah tepat kerana dia mendengar dua bunyi kuat yang pelik ketika sedang menjahit di rumahnya.

“Saya dengar bunyi kuat sebelum keadaan kembali senyap.

"Memang saya rasa jet tu masuk ke dalam tanah sebab bunyi pesawat itu sangat laju,” katanya yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Kampung Yak Yah, Pondok Pasir dan Bukit Takar.

Sebagai jiran yang rapat, Faridah turut memberi semangat kepada Siti Zamilah yang sehingga kini masih lagi trauma dengan nahas itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PONTIAN - Penduduk di sekitar Pekan Kukup di sini mendakwa sudah tidak tahan dengan bunyi bising pesawat yang melakukan penerbangan melintasi kawasan penempatan itu sejak seminggu lalu.
  • LABUAN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais Paradise 2/2015, selama dua minggu mulai hari ini, di Pangkalan Udara Labuan di sini.
  • IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tiada halangan sekiranya terdapat pihak yang mahu melakukan pencarian dan membawa keluar bangkai pesawat Perang Dunia Kedua yang terhempas di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk di Gerik.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) membeli pesawat tanpa juruterbang bagi menjalankan projek Sistem Penawanan Data Geospatial di negara ini tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.