KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga Kemboja yang masih berdegil menetap di sebuah rumah sewa di Dungun, meskipun memiliki rekod individu disingkirkan memasuki Malaysia, mengundang padah apabila dihukum tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Sren Slamas, 31, dari Kemboja, mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu tidak memiliki pas sah dan memasuki atau menetap di negara ini secara tidak sah setelah disingkirkan atau dikeluarkan dari Malaysia.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku salah tidak memiliki pas yang sah berada di negara ini dengan tinggal di sebuah rumah sewa di Kampung Alor Tempoyak, Dungun, lebih kurang jam 2.10 pagi, pada 11 Disember tahun lalu.

Dengan itu, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh mengaku salah memasuki atau menetap di negara ini secara tidak sah setelah disingkirkan atau dikeluarkan dari negara berdasarkan semakan melalui rekod Sistem Kawalan Imigresen Malaysia (LU2), di lokasi, waktu dan hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Nur hidayah Ramley di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala pertuduhan dibacakan jurubahasa Kemboja dari Mahkamah Persekutuan, Farid Muhammad.

Susulan pengakuan salah kedua-dua pertuduhan, Azman menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan juga tiga bulan penjara bagi pertuduhan kedua selain mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :