MARANG - Tindakan pemilik reban itik yang menutup pagar rebannya dengan jaring berjaya menyelamatkan ternakannya daripada dimakan ular sawa seberat kira-kira 40 kilogram hari ini.

Pemiliknya, Long Muda Long Omar, 58, dari Jalan Batangan di sini, terkejut apabila ternampak seekor ular sawa di luar reban tersebut sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa terbabit.

Menurutnya, sejak tahun lalu lebih kurang 10 kali reptilia jenis itu menceroboh ke kawasan reban menempatkan lebih kurang 350 ekor itiknya dan sudah banyak kali juga ahli keluarga 'si batik' itu ditangkap.

"Tahun ini sudah dua kali dan kali ini ular sawa itu tidak berjaya masuk ke dalam reban selepas saya memasang pukat di sekeliling reban. Saya hanya sedar ia tersangkut pada jaring pada pagi ini.

“Saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang kerana bimbang ular itu akan terlepas dan mungkin akan membahayakan nyawa orang lain berdekatan sini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Leftenan Muda Wan Abdul Rahim Wan Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada lelaki terbabit pada jam 9.30 pagi tadi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Kami dengan kekuatan empat anggota dikejarkan ke lokasi dengan menggunakan sebuah jentera APM Marang bagi menangkap reptilia ini.

"Operasi mengambil masa selama lima minit bagi menangkap ular sawa batik sepanjang kira-kira lebih dua meter itu. Reptilia itu kemudiannya dimasukkan ke dalam guni selepas ditangkap," katanya.

Wan Abdul Rahim berkata, ular itu dipercayai masuk ke kawasan rumah mangsa dari sungai bersebelahan untuk mencari makanan tetapi tersangkut pada jaring dipasang pemilik reban itik terbabit.