BESUT - Bekas Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar akan terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun gagal mempertahankan kerusi BN di Jabi daripada dirampas Pas pada PRU14.

Menurut Mohd Iskandar, walaupun agak terkejut dengan kekalahan tipis sebanyak 55 undi tetapi beliau menerima dan menghormati pilihan rakyat.

“Walaupun kalah tetapi hampir sebahagian pengundi di Dun Jabi penyokong BN iaitu seramai 8,006 orang, jadi sebab itulah sehari selepas hari mengundi 9 Mei, saya terus turun padang bertemu orang ramai untuk mengucapkan terima kasih dan menghargai mereka,” katanya yang kini Pengerusi Penyelaras Umno Dun Jabi.

Mohd Iskandar berkata, sebagai pemimpin Umno peringkat dun, beliau  tidak mahu berlengah –lengah untuk terus bangkit dalam kekalahan tersebut.

Mohd Iskandar menyerahkan kerusi roda sebagai menunaikan janji sebelum pilihan raya kepada penduduk yang uzur.

Menurutnya, beliau perlu bangkit dan mengatur gerak kerja supaya Umno dilihat tidak mati atau malap dengan sendiri akibat keputusan pilihan raya baru-baru ini di samping membuktikan Umno masih relevan di negeri ini khususnya di Dun Jabi.

“Sebab itu saya turun padang kerana selain untuk meraikan penyokong, saya juga mahu terus berbakti kepada masyarakat setakat kemampuan yang ada.

“Walaupun saya kini seorang penganggur selepas kalah tetapi saya cuba sedaya upaya berkhidmat sekadar termampu,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Gong Lilit, Jabi.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Penyelaras Umno Dun Jabi juga akan terus beroperasi namun bilangan kakitangan terpaksa dikecilkan kepada dua orang sahaja.

Menurutnya, antara peranan pusat ini adalah sebagai pemudah cara kepada masyarakat seperti membantu membuat sebarang permohonan kepada kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Saya perlu ambil tanggungjawab mendekati masyarakat kerana peluang untuk kita  pada masa depan masih ada," katanya.

Katanya, beliau turut turun padang pergi ke beberapa rumah penduduk untuk menyampaikan sumbangan seperti yang dijanjikan sebelum PRU seperti kerusi roda.

“Saya sedikit pun tidak menyesal kerana mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan sebagai pegawai kanan kerajaan untuk bertanding sebagai Adun Jabi lima tahun lalu.

“Saya sudah berazam sebaik memasuki universiti 20 tahun lalu untuk membantu orang kampung kerana mereka jugalah yang menghulurkan sumbangan bagi membolehkan saya masuk universiti.

“Syukur saya sudah dapat memberi khidmat kembali kepada masyarakat kampung khasnya di Jabi sepanjang lima tahun sebagai wakil rakyat,” katanya.

Katanya, selepas ini beliau merancang untuk menceburi bidang pertanian sebagai punca pendapatan namun belum memutuskan jenis pertanian yang akan diusahakan.

Menurutnya, pada masa sama  beliau telah berbincang dengan isterinya, Dr Nor Asmawati Wahab  untuk menetap di Kampung Gong Lilit manakala isterinya akan mengusahakan klinik kesihatan swasta di bandar Permaisuri.

Kata beliau, sebuah kereta jenis Proton Waja yang dikhaskan untuk penduduk Jabi menggunakannya ketika kecemasan atau urusan penting ketika beliau menjadi wakil rakyat juga akan diteruskan sampai sekarang.

“Saya teruskan khidmat bagi pinjam kereta percuma ini tetapi perlu mematuhi beberapa syarat sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu , beliau memberitahu masih ada masyarakat khususnya pengundinya yang masih datang bertemunya untuk meminta bantuan khususnya kewangan.

“Saya tolong setakat saya mampu sahaja kerana saya pun penganggur dan selepas ini hanya dapat pencen sahaja tetapi mungkin mereka masih terkejut dan  mereka masih tidak tahu untuk pergi jembo (tuju) ke mana,” katanya.