TEPOH - Dikelilingi pusat-pusat ilmu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail dan lain-lain meletakkan Dun Tepoh berada pada status serta punyai tarikan yang tersendiri.

Justeru tidak hairanlah kawasan itu menerima jolokan sebagai lingkaran ilmu dengan kewujudan pelbagai pusat pendidikan ketika ini.

Keadaan itu juga seiring dengan fokus dan keutamaan yang diberikan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan secara tidak langsung mampu melonjakkan lagi kecemerlangan ilmu meliputi pelbagai peringkat.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang cukup dikenali dengan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam memastikan pendidikan di negeri ini terus berada pada landasan terbaik dan ia dibuktikan melalui pelbagai kejayaan yang diraih pelajar kelahiran Terengganu.

Tidak hanya menjadikan Dun Tepoh sebagai tarikan pendidikan semata-mata sebaliknya tumpuan ramai di kawasan itu turut membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Menurut Azmi Abdullah, 37, kesan positif  dirasai penduduk setempat apabila keadaan itu turut menyumbang manfaat kepada peniaga tempatan.

"Apabila sesebuah kawasan menjadi tumpuan ramai manfaat itu sememangnya dirasai oleh peniaga yang berpeluang meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di pusat-pusat pendidikan di sini merupakan penduduk luar daripada Terengganu dan mereka pastinya akan berbelanja apabila berkunjung ke sini.

"Inilah yang dikatakan manfaat kepada rakyat melalui projek serta pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri," katanya.

Jelasnya lagi, selain memberi manfaat kepada penduduk yang mengusahakan perniagaan berasaskan makanan, penduduk yang mempunyai tanah serta rumah kosong turut tidak terkecuali mendapat sumber pendapatan.

"Selain penduduk yang mengusahakan kedai makan mempunyai peluang mendapatkan pendapatan lebih tinggi tinggi, pemilik serta pengusaha rumah sewa juga paling mendapat permintaan tinggi.

"Boleh dikatakan rumah-rumah sewa di sini bagai goreng pisang panas dan sentiasa dicari memandangkan ramai pelajar yang ingin menyewa kerana tidak menetap di asrama dan sebagainya," katanya.