KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui tiada sebarang permohonan dari negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan untuk melaksanakan ikrar bebas rasuah sebagaimana dilakukan negeri lain setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bagaimanapun berkata, inisiatif mengangkat ikrar bagi mengekang rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri bagaimanapun, bergantung pada kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata, ia bukanlah perkara wajib dibuat mana-mana kerajaan negeri, sebaliknya ia dilakukan atas inisiatif dan tanggungjawab kerajaan negeri itu sendiri bagi menyatakan komitmen mereka dalam menangani rasuah di negeri mereka.

“Saya mengharapkan agar kesemua kerajaan negeri di Malaysia ini akan melaksanakan ikrar bebas rasuah dan salah guna kuasa tersebut,” katanya kepada pemberita ketika hadir bagi menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan kesemua sembilan Exco mengangkat ikrar bagi menyatakan komitmen menangani rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Dzulkifli turut memberitahu Terengganu adalah negeri ketujuh mengangkat Ikrar Bebas Rasuah selepas Sarawak, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak, dan akan diikuti beberapa negeri lain iaitu Sabah, Pahang dan Johor.

Mengulas lanjut, Dzulkifli turut menyatakan kesediaan hadir ke negeri-negeri pembangkang sekiranya mereka bersedia melakukan ikrar membasmi rasuah pada masa akan datang.

“Jadi setakat ini, kita tidak menerima apa-apa permohonan (dari negeri pembangkang). Kalau ada, insya-ALLAH kita akan pergi dan saya akan menggalakkan kesemua negeri tersebut untuk menunjukkan keikhlasan, ketulusan mereka dalam usaha-usaha membanteras rasuah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengesahkan seramai 38 orang ditangkap bersabit kesalahan rasuah di Terengganu, sejak Januari sehingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menunggu Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
  • ALOR SETAR - Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.
  • KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menjangkakan membuat penahanan baharu ke atas individu lain bagi membantu siasatan kes sindiket pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
  • KOTA BHARU - Bekas Inspektor polis dihukum penjara selama tiga tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000, dua tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.