KUALA BESUT - Seorang lagi mangsa yang sebelum ini dikatakan positif demam denggi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Kabir Jakin, 49, dipercayai meninggal dunia akibat denggi selepas dirujuk ke hospital pada Isnin lepas.

Mangsa kedua itu menetap di sebuah perumahan di Kampung Alor Teratai, dekat sini, yang terletak berhampiran kawasan lokaliti wabak, Kampung Tok Saboh yang sebelum ini mencatat satu kematian.

Menurut isteri mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azura, 45, suaminya dibawa ke Hospital Besut pada Ahad lepas sebelum dirujuk ke HSNZ sehari kemudian.

Katanya, keadaan suaminya tidak stabil sehinggalah dia meninggal dunia ketika menjalani rawatan di hospital berkenaan kira-kira jam 1.30 petang.

“Jenazah dibawa pulang ke Besut sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Gong Tengah pada petang hari yang sama,” katanya.

Difahamkan, ini kes kedua membabitkan kematian di negeri ini yang dipercayai berpunca daripada denggi.

Pada 15 Julai lepas, seorang wanita warga emas, Kasmah Deris, 62, dari Kampung Tok Saboh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, Kelantan.

Mangsa yang sebelum itu mengalami demam selama beberapa hari mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Putih, Kelantan dan disahkan positif denggi sebelum dirujuk ke HRPZ II.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi mengesahkan kematian tersebut namun setakat ini mangsa hanya disyaki meninggal akibat denggi dan pihaknya masih menunggu laporan lanjut punca sebenar kematian mangsa.

Menurutnya, setakat ini seramai 12 orang dari kawasan terbabit masih dirawat di Hospital Besut kerana disyaki demam denggi, namun keadaan mereka semakin stabil.