KUALA TERENGGANU – Kelab permainan tradisional Terengganu, Wau Warisan Duyong akan berentap dalam Festival Layang-Layang di Pasir Gudang, Johor Bahru pada 21 hingga 26 Februari ini.

Pengerusi Kelab Wau Warisan Duyong, Shafizam Alias berkata, peluang menyertai pertandingan sempena festival itu berdasarkan pengalaman dan kesungguhan dalam kalangan ahli kelab itu.

“Alhamdulillah, daripada pengalaman yang ada sedikit sebanyak dan kesungguhan ahli kelab kita diberi peluang dan kepercayaan oleh Pengurus Pelayang Terengganu untuk menjayakan festival itu.

“Saya juga ingin merakam ribuan terima kasih kepada ahli kelab seramai 10 orang kerana semangat dan minat dalam permainan tradisional ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini bertungkus-lumus menyiapkan 16 wau terdiri daripada empat wau bulan, empat wau jale budi, empat wau kucing dan empat wau merak.

“Semua wau itu akan dipertandingkan dalam kategori wau sobek naik, wau cantik di bumi pula kita hanya pertandingkan sebanyak empat wau sahaja iaitu wau bulan bermotif daun pokok  kangkung, wau jale budi bermotif  pokok kundur, wau kucing bermotif pokok timun tikus dan wau merak bermotif pokok lada hitam.

“Kita tidak mengharapkan kemenangan besar di dalam festival memandangkan ini adalah kali pertama berpeluang untuk mewakili Terengganu, bagaimanapun, kita akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Seorang remaja kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun berjaya membuktikan keupayaannya dalam kemahiran mensobek (mengukir corak) wau, malah hasil seni halus yang dilakukannya telah pun mendapat pengiktirafan.
  • JITRA - Pemuda Umno Cawangan Kampung Paya Parit Latif, di sini, menganjurkan pertandingan wau secara terbuka bertujuan mengekalkan tradisi permainan itu dalam kalangan masyarakat.
  • POKOK SENA - Wau merupakan salah satu permainan tradisional orang Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu dan permainan itu amat popular dalam kalangan pesawah kerana mereka akan bermain wau selepas berakhirnya musim menuai, namun kini permainan itu semakin dilupakan generasi muda.
  • TUMPAT - Pelaburan masa enam bulan dan wang ringgit dibelanjakan lebih RM2,000 berbaloi apabila Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Negeri Kelantan muncul juara pertandingan wau bercahaya sempena Pesta Wau Antarabangsa 2014 di Pantai Geting.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.