DUNGUN - Ombak kuat dalam kejadian air pasang besar di Kampung Pantai Laut, Pantai Kuala Paka menyebabkan sebuah rumah penduduk roboh  kelmarin.

Setiap kali musim tengkujuh dan ketika air pasang besar, 12 keluarga di penempatan itu berada dalam kebimbangan kerana kediaman dimasuki air serta paling ditakuti rumah mereka boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

Apa yang ditakuti menimpa keluarga Yusof Abdullah, 42, apabila rumah pusaka peninggalan arwah ibunya senget dipukul ombak pada tahun lepas dan seperti dijangka rumah keluarganya itu musnah apabila air pasang besar diikuti ombak kuat sekali lagi mengganas tahun ini.

Yusof berkata, bimbang dengan keadaan rumah yang senget dihempas ombak, dia membawa isteri dan tiga anak menumpang di rumah kakaknya tidak jauh dari kawasan itu.

“Memandangkan keadaan rumah sudah senget dan tidak selamat, kami sekeluarga berpindah mencari tempat yang selamat walaupun terpaksa menumpang.

“Kira-kira jam 8 malam rumah saya akhirnya runtuh. Walaupun sedih tempat tinggal kami jadi begini tetapi saya bersyukur kerana keluarga selamat,” katanya.

Rumah Zulaimi juga boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja

Katanya yang bekerja sebagai nelayan, perasaan sedih dialami akibat masalah tersebut amat membebankan tetapi dia berharap pihak berwajib dan kerajaan dapat membantu menanganinya dengan segera.

“Rumah pusaka ini sudah berusia lebih 30 tahun dan masalah hakisan menyebabkan ombak besar memukul rumah dan ia berlaku sejak empat tahun lalu.

“Kami sedikit lega apabila ada pemimpin turun padang dan kami merayu supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Jika nak bina rumah sendiri memang saya tak mampu sebab pendapatan juga tidak menentu,” katanya.

Ombak besar ancam nyawa penduduk

Jirannya, Zulaimi Mohamad, 39, berkata, dia bersama isteri, Hazura Haliah, 34, dan empat anak berusia 2 hingga 15 tahun lari menyelamatkan diri apabila ombak besar menerpa ke dalam rumah.

“Mula-mula hanya angin kuat tetapi cuaca tidak hujan, selepas itu ombak makin kuat menyebabkan air masuk ke dalam rumah.

“Air masuk ke dalam rumah ketika kami sedang makan malam. Mula-mula masuk di ruang tamu dan kami ke bahagian dapur sebelum terus keluar untuk menumpang tidur di rumah ahli keluarga lain.

“Bila musim air pasang memang inilah yang jadi kebimbangan dan jika tak bertindak mungkin keadaan akan lebih teruk serta mengancam nyawa. Kami amat berharap bantuan yang dijanjikan dapat disegerakan supaya tidak terus berada dalam situasi tidak selamat,” katanya.

Gesa tindakan segera

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Datuk Din Adam berkata, masalah tersebut memang di bawah makluman dan semua pihak bertanggungjawab digesa supaya segera bertindak.

Menurutnya, hakisan pantai berlaku setiap tahun di Pantai Kuala Paka dan sebelum ini sebanyak RM200,000 diperuntukkan pimpinan setempat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina benteng penahan ombak.

“Selepas itu sebanyak RM1.5 juta ditambah untuk mengatasi masalah hakisan di sepanjang pantai ini. Melalui peruntukan perdana menteri sebanyak RM150 juta diluluskan tetapi ia tidak dapat disiapkan dalam masa yang cepat.

“Oleh itu kita menggesa semua pihak yang terlibat supaya menyegerakan tindakan supaya masalah ini tidak berulang lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Rumah Yusof yang didiami runtuh dipukul ombak

Beliau berkata, bagi menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu sebuah tapak perumahan di Beril telah diluluskan untuk pembinaan rumah baharu.

“Sebanyak 12 keluarga telah dikenal pasti terjejas akibat masalah ini. Kerja-kerja pembersihan tapak sudah dilaksanakan dan kita gesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyegerakan pembinaan rumah baharu untuk mangsa.

“Projek itu di bawah LKIM memandangkan ketua keluarga adalah nelayan dan setakat ini hanya sebuah keluarga sudah mendapat kelulusan. Diharapkan proses yang lain dipercepat kerana penduduk di sini berdepan bahaya,” katanya.

Tambahnya, kesemua penduduk terjejas diminta berpindah ke lokasi selamat sementara keadaan cuaca atau masalah air pasang besar dijangka akan berlarutan.

“Dijangkakan malam ini keadaan air pasang lebih teruk dan kita minta penduduk berpindah ke rumah saudara terdekat buat sementara.

“Jika perlu kita juga akan menyediakan kemudahan tempat berpindah dan segala bantuan termasuk pakaian sekolah anak-anak akan disalurkan,” katanya.