DUNGUN - Sebuah rumah imam dibina di surau Kampung Balik Bukit, di sini bagi memberi kemudahan kepada imam menjalankan tugas dan bermalam ketika program ceramah atau aktiviti keagamaan dilaksanakan.

Rumah imam berkenaan dibina oleh Terengganu Incorporated Sdn bhd (Terenggany Inc) menerusi aktiviti tanggungjawab korporat sosial (CSR) melalui program Way of Naqiya 2.0.

Naib Presiden, Khairul Nizam Khalid Mirza berkata, projek amal adalah kesinambungan yang sudah dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, ia selaras dengan apa yang diaspirasikan oleh Terengganu Inc iaitu Memanfaatkan Pelaburan Untuk Rakyat.

“Program ini diadakan untuk memberi sokongan selain membantu komuniti setempat dalam mempelajari ilmu agama," katanya.

Khairul Nizam berkata, menerusi Way of Naqiya 1.0, aktiviti pembersihan dan penambahbaikan Madrasah al-Hidayah di Batuk Buruk, Kuala Terengganu dilakukan pada tahun lalu.

“Kali ini kita bantu jemaah di Kampung Balik Bukit dan rumah yang dibina di surau ini adalah bagi menempatkan imam selain memberi tempat untuk mereka bermalam semasa mengadakan ceramah keagamaan di sini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah  Way of Naqiya 2.0 di surau kampung berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Mazlan Tawang berkata, sumbangan yang disalurkan oleh pihak Terengganu Inc amat bermakna dalam menyiapkan rumah imam itu.

“Bagi pihak ahli jawatankuasa surau dan penduduk setempat amat terharu kerana telah memilih kawasan ini untuk progam CSR Terengganu Inc.

“Dengan adanya rumah untuk imam ini, ia memudahkan mereka untuk bermalam di sini kerana kebanyakan imam yang hadir adalah dari kawasan luar,” katanya.

Selain membina rumah imam, Way Of Naqiya 2.0 turut melakukan penambahbaikan di surau tersebut untuk keselesaan jemaah.