KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri dijangka akan melaksanakan satu lagi manifesto iaitu caj rawatan percuma bagi pesakit kelas ketiga di semua hospital kerajaan bermula 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini sedang berunding bersama pihak hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menunaikan manifesto itu.

“Kita dah bawa perkara ini di peringkat kementerian dan kini kita sedang mengenal pasti kadar bayaran yang akan dikenakan dan jumlah ditanggung kerajaan.

“Kaedah pembayaran tidak sukar, namun kita perlu kenal pasti dari segi kadar yang dikenakan oleh pihak hospital kepada pesakit dari wad ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurut Alias, beliau menjangkakan jumlah maksimum sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi menampung kos rawatan pesakit kelas itu dalam tempoh setahun.

“Di seluruh Terengganu terdapat 1,400 katil bagi pesakit wad kelas ketiga dan kita telah semak bil sebelum ini di mana kos rawatan sekitar RM4 juta setahun, jadi tiada masalah untuk tampung bayaran itu.

“Bagaimanapun, peruntukan itu akan dimasukkan ke dalam bajet 2019 yang akan diumumkan November ini. Tahun ini kita dah tiada peruntukan, mungkin tahun depan baru kita boleh laksanakan caj percuma ini,” katanya.

Caj rawatan percuma pesakit kelas ketiga adalah antara lima manifesto awal yang diumumkan Pas Terengganu sebelum ini.

Empat lagi manifesto ialah memastikan setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun memiliki satu lot tapak rumah atau satu unit rumah kediaman, membuka permohonan tanah baharu serta memberi geran kekal, peruntukan RM300 untuk belia mendapatkan lesen motosikal dan karnival kahwin kali pertama percuma setiap Dun di seluruh negeri.