KUALA TERENGGANU – Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia membantah pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, pengiktirafan terhadap sijil itu bertentangan dengan matlamat pendidikan negara kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

“Pengiktirafan UEC bertentangan dengan matlamat pendidikan negara yang bertujuan meletakkan murid-murid berlainan bangsa, agama dan etnik di bawah satu bumbung demi mewujudkan perpaduan negara.

“Ia akan menimbulkan jurang antara murid malahan murid Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) terus menerus terpisah daripada pelajar-pelajar pelbagai bangsa,” katanya.

Selain itu, Abdul Raof menegaskan, UEC akan melunturkan minat pelajar terhadap Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967: Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi.

“Ia akan mewujudkan dasar pendidikan carca-marba kerana keseluruhannya, matlamat SMPC berbeza dengan sistem dasar pendidikan negara.

“Sistem pentadbiran, kualiti penilaian dan peperiksaan, buku teks, kaedah dan penekanan kurikulum dan isi pendidikan tidak sama dengan dasar dan sistem pendidikan negara kerana dasar dan sistemnya diasaskan berdasarkan kepada sistem pendidikan Taiwan,” katanya.

Tambahan pula, katanya, bahan pengajaran dan pembelajaran serta buku teks Sejarah SMPC begitu lemah dan tidak menjaga sensitiviti pelbagai kaum di negara ini khususnya orang Melayu dan agama Islam serta tidak menepati dasar Falsafah Pendidikan Negara.

“Buku teks Sejarah SMPC tidak menyentuh kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dalam sistem pentadbiran dan perdagangan tetapi lebih menonjolkan kewujudan hubungan baik dan pengaruh Dinasti Ming dan hubungan dengan Melaka.

“Terdapat juga gambaran salah berkaitan cara ibadat dan hukum agama Islam di mana memaparkan gambar kumpulan ajaran sesat, Aminah Wadut menjadi imam yang makmumnya lelaki,” katanya.

Terdahulu, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) meminta kerajaan mengiktiraf UEC yang diambil semua pelajar di SMPC bagi membolehkan mereka memasuki universiti awam di Malaysia.