KUALA TERENGGANU - Golongan wanita dan ibu tunggal di negeri ini perlu berani menceburi bidang keusahawanan dalam usaha mengubah nasib keluarga seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Roslee Daud berkata, banyak inisiatif dan bantuan disediakan kerajaan kepada golongan ini bagi melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi yang mampu memberi pendapatan tambahan.

“Daripada memikirkan kisah lalu dan masalah rumah tangga yang boleh mendatangkan tekanan, lebih baik mereka mencari peluang untuk memajukan diri.

“Kerajaan negeri amat menggalakkan golongan ini untuk ceburi bidang keusahawanan dan sedia memberi bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada modal atau bimbingan dan latihan,” katanya selepas Pemberian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2017 BSK, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Hadir sama,  Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Menurut Roslee, banyak cabang perniagaan yang boleh diceburi golongan ibu tunggal dan mereka boleh menceburinya dengan menggunakan modal minimum termasuk bidang jahitan, perniagaan atas talian, masakan dan sebagainya.

Beliau berkata, masalah berkaitan pengabaian nafkah anak sememangnya telah berkurun lamanya dihadapi kebanyakan wanita dan ibu tunggal di negara ini.

Jelasnya, beberapa kali turun naik mahkamah syariah untuk mendapatkan perintah nafkah, namun setelah hakim membuat keputusan dan perintah nafkah diperoleh, timbul pula masalah si bapa atau suami ingkar, cuai dan enggan mematuhi perintah tersebut.

874 kes direkodkan

Mengikut statistik kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, jumlah kes ingkar perintah nafkah yang diadukan kepada mereka sejak 2010 sehingga 2016 adalah sebanyak 874 kes.

“Ini yang diadukan, yang tidak diadukan saya percaya banyak lagi kes.  Ia jelas menunjukkan bahawa masalah ingkar perintah pembayaran nafkah ini telah menjadi suatu masalah yang semakin berat yang sepatutnya ada jalan penyelesaian lain selain dari mahkamah sebagai jalan terakhir.

Menurutnya, selaku Exco yang bertanggungjawab, pihaknya sentiasa mengambil berat dan memandang serius berkenaan masalah keingkaran para bapa terhadap pembayaran nafkah anak ini.

“Saya juga menyokong penuh usaha murni dan komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Maidam dalam menyalurkan dana bantuan pendahuluan nafkah kepada ibu-ibu dan anak-anak yang tidak mendapat hak nafkah ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang telah cuai atau gagal mematuhi dan melaksanakan perintah Mahkamah Syariah,” katanya.

Dalam pada itu, sejak dimulakan pada 2014 sehingga 2016, seramai 319 orang menerima bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM490,860 dalam program yang turut mendapat kerjasama Maidam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Seorang ibu tunggal sanggup mengorbankan kerjayanya demi menjaga anaknya yang sakit dan ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Terengganu sejak 30 Oktober lalu.
  • JERANTUT - Kaum wanita disarankan melibatkan diri dan menjadi salah seorang anggota sukarelawan bomba.
  • KOTA BHARU - Tinggal dalam kediaman usang yang berlubang dan bocor sana-sini. Itulah yang terpaksa ditempuhi seorang ibu tunggal 12 anak, yang perlu meneruskan kehidupannya setelah kematian suaminya sejak dua tahun lalu di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh di sini.
  • KUALA LIPIS - Pemergian anak tersayang akibat radang paru-paru atau pneumonia pada Ogos lalu begitu dirasai seorang ibu tunggal, dari Taman Cheneras Indah, di sini.
  • SUNGAI BUAYA - Seorang ibu tunggal berharap rumah baharu yang dijanjikan sempena Program Kerajaan Prihatin di bawah Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2017 segera dibina.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.