KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuatkuasa serta merta, menggantikan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Keputusan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Kongres Luar Biasa (EGM) 2018 PBSNT, yang membuat pindaan bagi jawatan presiden, di mana jawatan itu secara automatik, dikhususkan kepada menteri besar.

Ahmad Razif berkata, keputusan itu dicapai apabila 57 ahli gabungan PBSNT sebulat suara bersetuju melakukan pindaan dalam perlembagaan badan induk bola sepak negeri, dengan merujuk berkaitan artikel 33 dan 39 bagi jawatan presiden dan timbalan presiden 1.

“EGM berjalan dengan baik hari ini, di mana kita telah membuat pindaan bagi jawatan presiden, yang mana jawatan itu secara automatiknya dikhususkan kepada Menteri Besar Terengganu.

“Ini bermakna, Dr Ahmad Samsuri menjadi presiden yang baharu menggantikan saya. Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden 1 yang dikosongkan Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pula akan diisi oleh individu yang dilantik, atas persetujuan presiden sendiri,” katanya pada sidang media selepas EGM 2018 PBSNT di sini, sebentar tadi.

Ahmad Razif yang memegang jawatan itu sejak Disember 2016, turut berharap agar perubahan yang berlaku itu akan memberi lebih kekuatan dan kecemerlangan kepada PBSNT, selain melahirkan rasa kagum kerana pasukan TFC 3 dan TFC 4 kini mendahului kedudukan teratas liga.

“Ini satu lagi pencapaian baik yang menunjukkan program yang dibuat sebelum ini mencapai kejayaan dan saya berharap, program ini dapat diteruskan supaya akhirnya, kita dapat mencapai target bagi menyediakan barisan pasukan utama, di samping ada juga pasukan pelapis.

“Secara tidak langsung, bukan saja pasukan utama yang diberi penekanan tetapi turut memberi perhatian kepada pasukan-pasukan pelapis sebagai persediaan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya di hadapan ahli gabungan dan pemerhati, Ahmad Razif turut bersedia dan akan terus membantu pasukan itu biarpun tidak lagi berada dalam badan induk bola sepak negeri.

Sebelum ini, jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden PBSNT dipilih melalui pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan empat tahun sekali, dan bukannya secara lantikan.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang ketika itu sebagai Menteri Besar Terengganu memenangi jawatan presiden bagi penggal 2017 hingga 2020 selepas penyandangnya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid meletak jawatan.