MARANG - Nasib seorang kanak kanak yang kehilangan tangan kiri dan kaki kanannya selepas digilis lori dalam kejadian di Kampung Banggol Chempedak di Dun Alur Limbat di sini, mendapat pembelaan.

Muhammad Naufal Yazid Mohd Salleh, 8, menerima insurans daripada Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia melalui Takaful Malaysia Berhad bernilai RM 11,000 berikutan kecederaan yang dialaminya itu.

Sumbangan pampasan insurans berkenaan disampaikan oleh Pengurus Bisnes Takaful Malaysia Berhad, Zainan Kassim di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Serada di Kuala Terengganu.

Menurut Zainan, Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia melalui Takaful Malaysia Berhad itu melindungi seluruh pelajar di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara.

"Selain daripada insurans yang diperoleh, adik Naufal juga boleh memohon keperluan seperti kerusi roda yang juga termasuk dalam perlindungan yang disediakan," katanya kepada media.

Muhammad Naufal Yazid putus kaki kanan dan hancur tangan kiri akibat digilis lori dalam kejadian berlaku di Kampung Banggol Chempedak.

Dalam pada itu, pihak sekolah juga menyumbang RM1,000 untuk membantu meringankan kos perubatan kanak- kanak malang itu pada dalam majlis yang turut dihadiri wakil Jabatan Pendidikan Negeri.

Muhammad Naufal Yazid putus kaki kanan dan hancur tangan kiri akibat digilis lori dalam kejadian berlaku di Kampung Banggol Chempedak pada hari raya keenam, iaitu pada 20 Jun yang lalu.

Beliau sehingga kini masih menerima rawatan di hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selepas tragedi menimpanya dan kisah menyayat hati itu turut disiarkan Sinar Harian pada 21 Jun lalu.