KUALA NERUS - “Selama dua tahun saya menderita sakit tanpa mengetahui apa punca hingga mengakibatkan berat badan saya turun mendadak,” demikian kata mangsa yang menghidap penyakit misteri yang hanya ingin dikenali sebagai Zaleha.

Katanya lagi, sepanjang tempoh dua tahun itu jugalah dia mencuba pelbagai rawatan moden dan tradisional, namun tubuhnya tetap lemah hingga mengakibatkan dia tidak dapat bekerja.

Bagaimanapun, misteri penyakit yang dihidapinya itu terungkai setelah dia mendapatkan rawatan di Badan Kebajikan Perubatan Rabbani yang terletak di Seberang Takir.

“Jujur saya katakan, saya jenis yang tidak mempercayai sihir atau ilmu hitam, namun apabila ia terkena kepada saya sendiri, barulah sedar bahawa perkara sebegini sememangnya wujud.

“Alhamdulillah, setelah mendapatkan rawatan di sini (Badan Kebajikan Perubatan Rabbani) badan dan semangat diri saya beransur pulih.

“Walaupun saya sudah dapat meneka perbuatan ini angkara siapa, namun saya tidak berdendam dengan mereka, sebaliknya memohon ALLAH membuka pintu-pintu hati mereka yang telah tersasar ini,” katanya.

Jelasnya lagi, sepanjang tempoh dua tahun itu dia sering diganggu hingga mengakibatkan hidupnya tidak teratur dan terpaksa berhenti kerja.

“Akibat gangguan yang saya alami, saya terpaksa berhenti kerja kerana sering mengambil cuti, selain terpaksa berpindah rumah sewa kerana gangguan itu.

Sementara itu, pengasas Badan Kebajikan Perubatan Rabbani, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, hampir 80 peratus pesakit yang datang mendapatkan khidmat rawatan di pusatnya itu adalah disebabkan perbuatan sihir.

Lebih menyedihkan lagi, perbuatan syirik itu dilakukan keluarga atau kenalan rapat akibat cemburu dengan kesenangan orang lain.

“Masyarakat Islam perlu kembali kepada landasan yang sebenar dan perlu diingat bahawa perbuatan ini boleh merosakkan akidah,” katanya.

Katanya lagi, cara terbaik untuk menghindar diri daripada terkena perbuatan sihir ini adalah dengan sentiasa mengamalkan bacaan al-Quran, selain tidak meninggalkan solat serta melakukan solat sunat yang lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENDANG - Demi kasih yang mendalam, seorang pekerja syarikat kebersihan sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang dipotong kaki akibat kencing manis.
  • TASEK GELUGOR - Siapa sangka seorang pemuda yang dahulu aktif, kini hanya mampu terbaring lemah di rumah akibat penyakit misteri.
  • CHEMOR - Dengan keadaan fizikal badan dan kedua-dua kaki semakin membesar, seorang wanita mengharapkan bantuan mana-mana pihak untuk membesarkan bilik air serta tandas duduk bagi membolehkannya digunakan dengan selesa.
  • GOMBAK - Pelbagai ikhtiar dibuat keluarga untuk mengubati penyakit ‘misteri’ yang dihadapi Dona Marita Amir Nain, 32, namun keadaannya masih sama.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.