KUALA TERENGGANU – Sebut sahaja nama Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad al-Aidrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh, ia satu nama besar yang terkenal dengan sikapnya yang tegas dalam mentadbir agama dan negeri malah menjadi seorang ulama yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Tidak hairanlah namanya ada di mana-mana seperti Simpang Tok Ku, Masjid Tok Ku Paloh, Kampung Tok Ku dan banyak lagi yang mengaitkan nama itu bermula daripada almarhum ayahandanya lagi, Sayyid Muhammad (Tok Ku Tuan Besar).

Jasa dan pengorbanan Tok Ku Paloh terhadap negeri Terengganu sangat dihargai sehingga menjadi penasihat kepada Sultan ketika itu (Sultan Zainal Abidin III) dan makamnya diabadikan serta dijaga dengan baik sekali supaya tidak ada unsur-unsur kurafat dari pihak luar.

Cicit kepada Tok Ku Paloh, Sayed Anuar Sayed Mohamad berkata, menurut cerita-cerita nenek moyangnya, Tok Ku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan mendapat didikan serta asuhan dalam keluarga yang kuat beragama islam.

Katanya, Tok Ku Paloh yang mengaji di Mekah sebelum membuka Kampung Paloh banyak membantu ulama-ulama semasa beliau seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan ramai lagi kerana Tok Ku Paloh ketika itu dilihat bukan sekadar bijak dari segi ilmuan agama tetapi hebat dari segi pentadbiran negeri.

Ditanya apakah keturunan atau cucu dan cicit Tok Ku Paloh memiliki keperibadian sama dengan tokoh agama itu, Sayed Anuar berkata, ia sesuatu yang subjektif jadi memang sepatutnya keturunan mewakili apa yang telah dibuat tetapi faktor semasa persekitaran, tidak semua zuriat daripada almarhum terlibat secara langsung dengan apa yang dibuatnya dahulu.

“Secara umumnya,  sebagai contoh Pondok Muhajirin di Bukit Yong, Kuala Nerus sekarang yang diketuai oleh Sayed Suhaimi dan dia juga adalah cicit kepada Tok Ku Paloh, di sana beliau memperkembangkan institusi pondok, agama dan beliau sebenarnya banyak memperkasakan balik para ulama.

“Program haul yang dah masuk kali ketiga iaitu Haul ini adalah majlis memperingati ulama-ulama silam dalam konteks di Terengganu ini, untuk memperingati perjuangan Tok Ku Paloh dan ayahandanya, Tok Ku Tuan Besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebenarnya, keturunan Tok Ku Paloh ada mewarisi sedikit sebanyak dari segi agama seperti membuka pondok agama dan keluarga juga ada melaksanakan program keagamaan dengan mengumpul ulama-ulama sebagai mengembangkan lagi apa yang pernah dilakukan beliau ketika dahulu.

Ketegasan digeruni penjajah British

Bercakap mengenai ketegasan Tok Ku Paloh sehingga digeruni penjajah seperti British, Sayed Anuar berkata, almarhum yang meninggal dunia ketika berusia kira-kira 102 tahun, ketegasan itu tidaklah sehingga merenggangkan hubungan kekeluargaan Tok Ku Paloh tetapi ia (tegas) lebih kepada perkara-perkara berkaitan agama dan sunnah-sunnah Rasulullah.

Hubungan kekeluargaan semasa almarhum hidup dan sekarang masih sama kerana mereka akan berkumpul terutama pada setiap kali Hari Raya Aidilfitri bagi mengeratkan lagi silaturahim dan  dalam masa sama boleh mengembangkan lagi salasilah keluarga termasuk juga Keluarga Diraja Perlis.

“Keluarga Diraja Perlis juga adalah keturunan dari sini (Tok Ku Paloh) dan kami akan adakan perjumpaan sekurang-kurangnya setahun sekali di bawah Persatuan Al-Amin Terengganu dan juga Persatuan Ashraf,” katanya.

Masjid Tok Ku Paloh yang terletak di Kampung Tok Ku turut menjadi lokasi Tok Ku Paloh menyebarkan ilmu agama.

Kisah menarik dikongsi

Sayed Anuar berkata, sebagai seorang cicit kepada ulama terkenal, dia sering berkongsi siapa Tok Ku Paloh dan juga Tok Ku Tuan Besar kepada anak-anak serta cucu-cucunya kerana tidak mahu sejarah keluarga terputus di samping mahu mereka mengikut jejak almarhum.

Katanya lagi, banyak kisah yang diceritakan kepada beliau dan terdapat juga di dalam ‘google’ mengenai Tok Ku Paloh tetapi ada perkara yang keluarga itu sembunyikan daripada pengetahuan umum di mana hanya sanak-saudara sahaja yang tahu.

Ia bagi mengelak daripada orang ramai membuat andaian melampau dan menjauhi perasaan riak dikalangan keluarga Tok Ku Paloh sendiri.

Bagaimanapun, beliau selaku cicit kepada Tok Ku Paloh berbangga kerana nama itu terpahat di kampung-kampung, jalan-jalan dan juga masjid kerana kadang-kadang di kawasan lain, nama yang diberikan di sesuatu tempat itu tiada kaitan, tetapi berbeza dengan nama Tok Ku Paloh.

“Saya tinggal di Kampung Tok Ku dan menjadi jemaah di Masjid Tok Ku sendiri malah akan terus menyokong sebarang pembangunan yang dilaksanakan di tempat-tempat bersejarah ini yang sudah pasti ada kena mengena dengan darah daging saya sendiri.

“Kampung dan masjid inilah yang menjadi tempat Tok Ku Paloh dan juga ayahandanya menyebarkan agama Islam,” katanya.

Banyak lagi kisah-kisah yang menarik hendak dikongsi bersama mengenai siapa Tok Ku Paloh yang sering ‘diburu’ sehingga makam almarhum terpaksa dipagar dan dikunci ahli keluarganya  bagi mengelak sebarang perbuatan bertentangan dengan Islam dilakukan di kawasan itu.