KURANG beberapa hari sahaja lagi, sesi persekolahan akan bermula. Ibu bapa pula sibuk mencari segala kelengkapan anak-anak manakala anak-anak pula sudah tidak sabar untuk berpakaian sekolah dan kasut baharu.

Dalam bajet yang lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak 14 juta dana persekolahan kepada ibu bapa sebagai persediaan mereka untuk menyiapkan segala kemudahan anak-anak sebelum sesi persekolahan bermula.

Bantuan ini memberi manfaat kepada 120, 000 pelajar dalam menjalani sesi persekolahan 2018.

Kebajikan sekolah terjaga, para pelajar terpelihara, ibu bapa akan gembira.

Apatah lagi apabila melihat keputusan peperiksaan anak-anak yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Keputusan para pelajar di sekolah bukan sahaja dimainkan peranannya oleh ibu bapa dan warga pendidik, malah peranan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga memainkan peranan yang amat penting.

Oleh itu, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada PIBG sekolah-sekolah kerana berperanan membantu kecemerlangan pendidikan anak-anak kita di negeri Terengganu.

Malah, bukan itu sahaja, kita turut mewujudkan Program Memperkasa PIBG (PMP) bagi meneruskan kelestarian pendidikan Terengganu dengan memperuntukkan sebanyak RM2 ribu kepada setiap PIBG secara one-off.

Bagi menjadikan program baharu ini satu kejayaan dalam bidang pendidikan, RM1.01 juta ringgit telah diperuntukkan di mana ia melibatkan 505 buah PIBG dalam negeri bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada setiap PIBG untuk merangka dan merancang aktiviti mereka.

Tidak itu sahaja, kerajaan negeri turut menghadiahkan sebanyak RM50 ribu bagi program ini di mana ia disediakan untuk menyediakan indikator khas di beberapa PIBG sebagai program perintis.

Saya yakin dan percaya dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ini akan dapat memberi banyak manfaat kepada bidang pendidikan.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta manakala RM3 juta daripada Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) untuk melaksanakan aktiviti pelaksanaan aktiviti kecemerlangan di peringkat negeri, daerah dan sekolah dalam kelas bimbingan, tutorial dan akademik serta motivasi.

Oleh itu, sukacita saya maklumkan bahawa kelestarian dan kejayaan dalam pendidikan Negeri Terengganu bukan sahaja dimainkan peranannya oleh pelajar itu sendiri, malah ibu bapa, warga pendidik serta stakeholders juga memainkan peranan yang penting.

Di samping ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua rakyat Terengganu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Semoga tahun baharu ini akan membuka lembaran baharu kepada semua untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Sesungguhnya, apa yang berlaku pada tahun ini dijadikan pengajaran dan tauladan bagi panduan kita di masa hadapan. Sesungguhnya hanya kepada Allah saya berserah.