MARANG - Keluarga penoreh getah dari Kampung Tertak Batu di sini, terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam kerana tiada bekalan elektrik, sejak seminggu lalu.

Ketua keluarga itu, Mohamad Othman berkata, rumah baharu didiami sekadar menjadi tempat berlindung apabila ia dibina dengan kos amat terhad menggunakan wang simpanannya sendiri.

“Saya dan isteri hanya bekerja sebagai penoreh getah untuk tanggung tiga orang anak berumur 3, 7, dan 11 tahun. Dengan pendapatan tidak menentu kami tidak lagi mampu.

Rumah baharu ini juga sekadar boleh diduduki memandangkan ia dibina dengan kos terhad namun lebih selamat.

“Kami sudah bergelap hampir seminggu berlampukan lilin kerana tiada bekalan tenaga elektrik disambung ke rumah ini,” katanya ketika lawatan wakil Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang.

Menurutnya, sebelum berpindah, dia bersama isteri dan tiga anak mereka sudah 11 tahun tinggal di rumah lama yang mempunyai masalah atapnya bocor dan tidak selamat untuk diduduki.

Sementara itu, Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lawatan dibuat sejurus mendapat maklumat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tertak Batu.

“Kita cuba dengan sedaya upaya menyelesaikan masalah Mohamad. Dia tidak mampu jadi kita akan bantu dengan kemampuan yang ada termasuk hal berkaitan pemilikan tanah didudukinya ini.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut dan berharap semuanya akan dapat diselesaikan dengan segera “ katanya kepada Sinar Harian, di sini. hari ini.