DUNGUN - Usaha gigih tanpa mengenal putus asa dilakukan seorang remaja berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).

Amirah Fatimah Ali, 22, yang mengikuti jurusan Diploma Kejuruteraan Awam menerima Anugerah Khas Pengarah PSMZA, sekali gus menyempurnakan impian kedua ibu bapanya.

Gadis berasal dari Kuala Terengganu itu berkata, walaupun berusaha gigih dia tidak menyangka bakal dinobatkan sebagai penerima anugerah paling tinggi.

Menurutnya, sememangnya sejak melangkah masuk ke PSMZA dia menyimpan impian untuk naik ke atas pentas bersama ibu bapa bagi menerima anugerah cemerlang.

“Saya agak terkejut kerana mendapat anugerah ini tetapi ia adalah hasil usaha bersungguh-sungguh sepanjang tiga tahun.

“Selain usaha, saya tidak lupa solat dan patuh segala suruhan agama. Tidak dinafikan banyak cabaran dan halangan tetapi yang penting perlu bijak membahagikan masa,” katanya.

Amirah bersama kedua ibu bapanya yang banyak memberi dorongan untuk kejayaan dicapai.

 

Anak sulung kepada lima beradik itu berkata, dia adalah harapan keluarga dan perlu menjadi contoh yang baik kepada adik-adik.

“Saya akan terus mengejar impian untuk menjadi seorang jurutera. Sekarang saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Unimap dalam bidang kejuruteraan alam sekitar,” katanya.