KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menggalakkan pihak swasta menjadi penaja dalam aktiviti sukan yang diadakan di dalam negeri itu terutama melibatkan sukan peringkat antarabangsa yang disertai puluhan ribu peserta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penajaan itu sudah pasti memberi situasi menang-menang di antara pihak kerajaan, peserta dan juga penaja kerana secara tidak langsung mereka dapat memperkenalkan barangan atau produk mereka yang berkait dengan sukan dan juga kesihatan supaya boleh diuar-uarkan.

Menurutnya, seramai 53,000 peserta terlibat dalam Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud dan daripada jumlah itu seramai 4,000 peserta dari luar negeri termasuk 1,000 dari luar negara seperti Kenya, Jepun, India, Perancis, Macau, Thailand, Indonesia dan banyak lagi negara lain.

“Secara umum saya melihat penglibatan dalam larian kali ini adalah satu manifestasi betapa rakyat dan masyarakat awam suka akan aktiviti kesihatan dan menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti kecergasan dalam diri masing-masing.

“Dalam masa sama, aktiviti seperti ini akan terus dirancakkan lagi pada masa akan datang bagi merapatkan hubungan masyarakat dalam bentuk santai melalui sukan kemasyarakatan atau sukan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok, di sini, semalam.

Wan Sukairi (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dari luar negara pada pertandingan itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Ahmad Samsuri berkata, acara itu turut menggalakkan pengunjung menjadikan Terengganu sebagai negeri dikenali bersesuaian dengan moto Visit Beautiful Terengganu kerana mereka secara tidak langsung akan melawat ke tempat-tempat menarik di Terengganu.

“Peserta terutama dari luar yang menyertai larian ini akan mengambil peluang melawat tempat-tempat menarik di sini seperti Pasar Besar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam, pulau-pulau dan juga lokasi tumpuan lain,” katanya.

Beliau juga turut berharap Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud mampu diangkat di mata dunia dan dikenali ekoran penganjuran acara ini yang dilakukan bersama kerajaan negeri, Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, pihak swasta dan badan bukan kerajaan sepertimana negeri dan negara lain di dunia.

“Langkawi dikenali setelah adanya Le Tour De Langkawi, Perancis terkenal dengan Tour D France dan sebagainya yang mungkin menaikkan nama Terengganu pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, berhubung larian berkenaan, melalui kategori A, International Men’s Open 42 Kilometer (km) dimenangi James Maregu dengan larian selama 2 jam 32 minit diikuti rapat oleh Elly Kiptarbei yang ketinggalan hanya dua minit di belakangnya manakala tempat ketiga dimenangi Jackson Kiprotich dengan larian selama 2 jam 38 minit.

Bagi kategori B, International Women’s 42km pula, Gladys Kwambai mencatatkan larian selama 2 jam 58 minit diikuti, Kangogo Loice Jibet dengan masa 3 jam 2 minit dan Naum Jepkosgei mencatatkan masa larian selama 3 jam 13 minit.

Kategori Malaysian Men’s Open 42 KM berjaya digondol Nik Fakaruddin Ismail (2 jam 38 minit), naib johan, Sahrizan Ahmad (2 jam 53 minit) dan tempat ketiga, Mohd Harmini Ahmad (2 jam 57 minit).

Seterusnya kategori Malaysian Women’s Open 42 KM, johan dimenangi Fern (3 jam 22 minit), naib johan, Ewe Bee Hong (3 jam 45 minit) dan tempat ketiga, Goh Bee Yin (3 jam 53 minit).