KUALA TERENGGANU – Cadangan memindahkan kemudahan parkir bertingkat Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT), di Jalan Batas Baru ke satu lokasi lain masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan lagi setakat ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, setakat ini, kemudahan parkir mekanikal milik MBKT itu masih kekal di tapak sedia ada dan beroperasi dengan baik.

“Cadangan pemindahan kemudahan ini masih lagi di peringkat kajian dan belum lagi dimuktamadkan.  Pihak MBKT akan memastikan engagement (perjanjian) dibuat dengan semua pihak terlibat sebelum sebarang keputusan diambil.

“Matlamat utama MBKT adalah untuk memastikan kemudahan parkir dalam pusat bandar terus relevan, mencukupi dan accessible (mudah sampai) demi kepentingan aktiviti ekonomi bandar kepada penduduk, peniaga dan pelancong,” katanya kepada Sinar Harian.

Samiun Salleh

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan tindakan itu menerusi laman sosial facebook yang dikongsi oleh portal berita online milik individu lain dari parti itu.

Mengulas mengenai masalah kekurangan parkir, Samiun berkata, orang awam tempatan dan pengunjung luar boleh menggunakan parkir-parkir lain yang terdapat di Paya Bunga (PB) Sentral, PB Square dan PB Plaza yang jaraknya hanya 50 meter dari kawasan parkir bertingkat dan 20 meter dari bank-bank utama di Jalan Sultan Ismail.

“Untuk makluman umum, terdapat 679 parkir di PB Sentral, 234 (PB Square) dan 261 (PB Plaza) yang semuanya berjumlah 1,174 parkir yang ditawarkan kepada orang awam tempatan dan pengunjung luar.

“Parkir swasta ini juga ditawarkan pada harga berpatutan dan beroperasi sehingga melebihi jam 6 petang,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, pembangkang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan munasabah mengenai perancangan merombak dan memindahkan parkir bertingkat itu.

Naib Yang Di Pertua (YDP) Pas Kuala Terengganu,  Ahmad Amzad Hashim mendakwa, parkir dengan kos RM9.8 juta itu beroperasi tidak sampai tempoh 10 tahun dan tidak wajar dipindahkan ke medan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di Padang Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT).

Katanya, sistem Automatik (Rotary Type) bermekanikal yang digunakan pada tempat letak kereta itu akan mengalami masalah apabila ia dipecat dan dibuka satu persatu.

Amzad turut mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa tapak tempat letak kereta bertingkat milik MBKT itu akan dibangunkan satu lagi projek ‘kondominium mewah’.