PADANG - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bakal membina sebuah bangunan di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu, di sini untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir.

Timbalan Pengerusi BSMM Negeri, Badrol Hisham Zaki berkata, bangunan itu dianggarkan menelan belanja kira-kira RM250,000.

Menurutnya, berikutan kampung itu menjadi kampung angkat kepada BSMM dan dalam masa sama sering dilanda banjir, keperluan bagi membina sebuah bangunan sangat penting bagi penduduk di kampung berkenaan.

“Kos bangunan sahaja bernilai RM200,000 manakala nilai barangan kelengkapan pula mungkin boleh mencecah sehingga RM50,000. Kita anggarkan kos keseluruhan RM250,000.

“Buat masa ini, BSMM sedang dalam proses menghantar plan bagi diteliti terlebih dahulu sebelum ia diproses kepada langkah yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Pemindahan Banjir BSMM di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, di sini.

Badrol Hisham berkata, kapasiti bangunan itu mampu memuatkan seramai 250 orang dalam satu masa.

“Diharap dengan adanya pusat pemindahan BSMM di Kampung Bukit Tadok, mangsa banjir dapat tinggal sementara di pusat terbabit dengan lebih selesa,” katanya.

Badrol Hisham berkata, banyak kemudahan telah dimanfaatkan penduduk kampung (Bukit Tadok) setelah menjadi kampung angkat kepada BSMM.

“Terdapat juga sukarelawan BSMM di kampung itu yang menerima latihan daripada kami (BSMM) termasuk sebuah bot bagi kegunaan mereka ketika banjir,” katanya.

BSMM prihatin terhadap mangsa banjir dan cuba memberi keselesaan kepada mereka apatah lagi mereka sebahagian daripada keluarga pasukan sukarelawan dunia itu.