KUALA BERANG - Seorang guru besar hari ini mengesyorkan supaya kerajaan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi bagi mengelak kerugian berulang akibat banjir apabila pelbagai peralatan sekolah perlu diganti saban tahun.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, di sini, Harun Musa berkata demikian selepas melihat kerosakan pelbagai peralatan dan buku di sekolah berkenaan.

Beliau berkata banjir kali ini mengakibatkan kerosakan teruk yang menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

"Saban tahun banjir. Saya telah mengemukakan permohonan untuk membuat sekolah baru. Setiap tahun saya mohon. Tetapi oleh kerana ini sekolah kurang murid (SKM), mungkin sebab itulah tidak lulus.

"Mungkin juga kerana kos untuk membinanya (sekolah) melibatkan jutaan ringgit, jadi ia dianggap tidak berpadanan tetapi apabila dikira dengan nilaian yang rosak setiap tahun. Ia tetap merugikan," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah tersebut.

Tambahnya, kebanyakan peralatan akan diganti baharu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun, dan selepas itu permohonan baharu akan dikemukakan sekali lagi terutama bagi kerusi dan meja selepas dilanda banjir.

"Apabila kita buat permohonan..kerajaan akan beri buku teks, peralatan pejabat, peralatan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), peralatan sukan dan kemahiran hidup.

"Begitu juga dengan peralatan di makmal sains. Tetapi sayanglah kita guna tidak sampai dua tahun, ia rosak. Kita harap bangunan baru dapat dibina segera," katanya.

Menceritakan detik kejadian banjir di kawasan itu, Harun berkata air naik setinggi empat kaki sehingga menenggelamkan banyak prasarana kerana sekolah berkenaan setingkat sahaja.

Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok memulakan sesi persekolahan tahun 2017, pada hari ini ekoran kejadian tersebut.

Ia menempatkan seramai 73 orang pelajar, 12 orang guru termasuk Guru Besar dan dua orang pekerja pejabat. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dengan ketara apabila jumlahnya hingga tengah hari ini berkurangan sekitar 536 orang berbanding 1,012 malam semalam.
  • KUCHING - Banjir di Sarawak kian beransur pulih setakat pukul 8 malam ini apabila mangsa banjir menurun kepada 3,173 mangsa daripada 991 keluarga yang masih berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian.
  • KUCHING - Sejumlah RM32 juta diperlukan untuk menangani masalah banjir akibat fenomena air pasang besar di Sebuyau, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan pengurangan kepada 4,686 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,679 mangsa tengah hari tadi.