SHAH ALAM - Berpunca daripada puntung rokok yang dilemparkan jiran, tiga beranak nyaris maut selepas dapur mereka terbakar dalam kejadian di tingkat 10 sebuah apartmen di Sunway, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, Mohammad Faizal Azim berkata, dia bersama isteri dan anak berusia 2 bulan terjaga dari tidur selepas terdengar jeritan orang ramai di luar rumah.

"Saya terkejut selepas jiran mengetuk pintu dan menggoncang gril, kira-kira 1.30 pagi.

"Sebaik sedar saya dapati asap memenuhi ruang rumah. Saya terus bawa isteri dan anak menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, dia bersama isteri kemudiannya bergegas ke Hospital Shah Alam kerana khuatir dengan keadaan anak.

"Saya tidak fikir barang dalam rumah. Fikiran saya hanya anak. Dia baru dua bulan. Saya takut dia lemas terhidu asap," katanya.

Beliau berkata, selepas mendapatkan rawatan, dia kemudiannya bergegas pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis.

"Ketika saya sampai di rumah, api sudah dipadamkan oleh bomba dan jiran-jiran.

"Dapur dan sebahagian bilik kerja musnah. Jumlah kerugian hampir RM10,000. Barang kerja seperti komputer, hadiah perkahwinan semuanya musnah," katanya.

Azim berkata, kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku di mana sebelum ini dapurnya pernah terbakar kerana puntung rokok yang dilemparkan jiran.

"Sewaktu itu saya sedar. Hanya surat khabar yang terbakar. Puncanya puntung rokok. Sebab itu saya syak kejadian baru-baru ini mungkin disebabkan puntung rokok.

"Saya tidak tahu siapa yang buang. Ada lapan tingkat lagi di atas rumah saya," katanya.

Azim berkata, kejadian itu seharusnya dapat dielakkan sekiranya anda sebagai perokok tahu bagaimana cara untuk memadamkan api rokok.

"Jangan la buang sesuka hati. Kalau ada akal, anda tidak akan lemparkan dari atas sehingga menyebabkan kesusahan pada jiran lain.

"Kalau rumah saya terbakar dan merebak ke rumah lain, siapa yang susah?," katanya kesal.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :