HULU BERNAM -  Tindakan proaktif secara bersepadu perlu dilaksanakan pengurusan ladang sawit bagi mengatasi isu pendapatan bulanan peneroka di Felda Soeharto.

Penyelaras Pusat Peduli Rakyat (PPR) Dun Hulu Bernam, Mohd Amran Sakir berkata, beberapa faktor memberi kesan kepada pendapatan peneroka yang melibatkan aspek pengurusan ladang.

Menurutnya, ladang sawit perlu dipulihkan dengan kerja merumput dan membaja mengikut jadual.

“Sistem jalan kebun dan perparitan yang baik turut memainkan peranan kerana hasil kebun tidak dapat dikeluarkan jika jalan di kawasan ladang rosak.

“Serangan ulat bungkus perlu diatasi melalui pendekatan proaktif dan bersepadu melibatkan agensi berkaitan seperti Kementerian Pertanian, Malaysian Palm Oil Board, Kementerian Perusahaan Utama dan Felda.

“Felda tidak mampu mengatasi masalah ini bersendirian, maka kerjasama antara agensi terbabit amat diharap peneroka agar pendapatan mereka tidak terjejas,” katanya.

Mohd Amran berkata, permasalahan yang berlaku sebelum ini tidak harus diungkit sebaliknya kini memberi fokus terhadap langkah penyelesaian.

Menurutnya, peneroka menanggung akibat apabila ada di antara mereka yang mempunyai ladang seluas 10 ekar namun pendapatan bulanan kurang RM500.

“Semasa tinjauan kelmarin, saya dapati kawasan ladang tersebut secara semula jadinya subur dan  pokok berdaun kuning juga kurang.

“Walaupun dalam semak pokoknya masih mampu berbuah agak besar maka saya doakan semua kakitangan pengurusan ladang yang terlibat diberikan kekuatan bagi melaksanakan kerja yang diamanahkan.

“Bagi mengatasi isu pendapatan peneroka, syarikat yang menguruskan ladang perlu menjalankan tanggungjawab dengan efektif,” katanya.

Mohd Amran berkata, pihak kontraktor yang dilantik pengurusan ladang juga didapati gagal menyediakan pekerja mencukupi bagi ladang sawit di peringkat 6.

Menurutnya, ladang seluas 330 ekar itu memerlukan 12 pekerja untuk melakukan kerja menuai, merumput dan membaja namun hanya empat pekerja yang disediakan pihak kontraktor.