KLANG - Lima individu dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam  majlis  penuh  adat istiadat  diraja di Istana Alam Shah, pagi tadi.

Majlis pemasyhuran ialah bagi Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Datuk Diraja Selangor.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam istiadat itu, dua individu dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana iaitu Tengku Musahidin Shah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj dengan gelaran Tengku Seri Perkasa Diraja manakala Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj Syed Anwar Jamalullail Alhaj  pula bergelar Engku Panglima Setia Diraja.

Datuk Emran Kadir pula dimasyhurkan sebagai Orang Besar Daerah dengan gelaran Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Petaling manakala  Datuk Diraja Selangor dimasyhurkan kepada dua individu iaitu Datuk Mohd Effendi Abdullah yang bergelar Datuk Kurnia Bakti Diraja dan Datuk George Stewart LaBrooy  yang bergelar Datuk Setia Pekerti Diraja.

Pada istiadat tersebut, kelima-lima individu berkenaan mengangkat sumpah serta menandatangani akuan sumpah gelaran sebelum dikurniakan keris panjang daripada Sultan Sharafuddin.

 Mereka juga perlu meninggalkan negeri Selangor selama tujuh hari mulai semalam sebelum kembali semula bagi istiadat menjunjung duli.

Tengku Musahidin Shah, 34, merupakan salah seorang pengarah di Syarikat Ropequest Sdn Bhd dan juga anak saudara kepada Sultan Sharafuddin manakala Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj, 34, pula adalah pemegang amanah Yayasan Raja Muda Selangor serta Selangor Youth Community (SAY).

Kedua-dua mereka telah dilantik dan dikurniakan gelaran tersebut oleh Sultan Sharafuddin pada 1 Julai 2016.

Emran, 69, yang memegang jawatan Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor dilantik sebagai Orang Besar Daerah Petaling dan dikurniakan gelaran tersebut pada 1 Oktober 2010.

Manakala Mohd Effendi, 56, yang berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif (Pasaran Modal) Sedec Corporate Advisory Services Sdn Bhd dan George Stewart LaBrooy, Pengerusi Kumpulan Syarikat AREA dilantik serta dikurniakan gelaran berkenaan pada 1 Julai 2016.

Keberangkatan keluar Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin dari Balairung Seri sejurus selesai istiadat pemasyhuran disertai tembakan sembilan das meriam sebagai simbol sembilan daerah di negeri Selangor. - Bernama