SUBANG JAYA - Seorang pemandu kereta nyaris maut dilenyek sebuah lori yang merempuh naik atas kenderaan itu di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang dari arah Bukit Puchong menghala ke Puchong Perdana, pemandu kereta itu sempat keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, kemalangan itu turut membabitkan empat lagi kenderaan lain.

"Kejadian berlaku di Kilometer 26.5 LDP membabitkan enam buah kenderaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori melanggar kenderaan di depannya. Tiada kecederaan berlaku. Pemandu kenderaan yang remuk dilanggar seperti dalam gambar yang tular di media sosial sempat keluar dari kenderaannya ketika kejadian berlaku," katanya.

Mohammad Azlin berkata, setakat jam 7 malam tadi hanya pemandu kereta jenis Proton Persona, Suzuki Swift dan Nissan sudah membuat laporan polis.

"Bagaimanapun pemandu lori masing-masing jenis Hino dan Nissan serta sebuah kereta jenis Toyota Vios belum membuat laporan polis," katanya.