KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal maut digilis dalam kejadian di kilometer 27.7 arah Jalan Duta - Bukit Lanjan di sini petang tadi.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 1.36 petang itu, mangsa, lelaki berusia 37 tahun menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai dilanggar sebuah lori sampah yang dipandu dari arah sama.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis di lorong tengah.

"Sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita 39 tahun yang datang dari arah sama telah terlanggar motosikal mangsa.

"Mangsa disahkan maut oleh paramedik Hospital Sungai  Buloh yang tiba di lokasi kejadian,"katanya.