PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,100 karton rokok pelbagai  jenama bernilai RM87,570, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.20 malam, sebuah bot yang mencurigakan dikesan di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari Tanjung Sepat .

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, setelah mendapat maklumat, sebuah bot Petir 82 bergegas ke lokasi kejadian.

“Semasa melakukan Op Ehsan, kita telah menerima maklumat  terdapat sebuah bot mencurigakan menuju ke sebuah lokasi berhampiran kawasan Tanjung Sepat.

“Petir 82 dapat mengesan dan mengejar bot tersebut namun bot itu berjaya melarikan diri ke dalam bakau selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Maritim Selangor berjaya merampas 1,100 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat berikutan suspek berjaya melarikan diri.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, pelbagai jenama rokok yang cuba diseludup ke negara ini secara tidak sah ditutupi dengan jaring ikan

“Kita berjaya merampas sebanyak 180 karton rokok jenama Surya, Semporna (400 karton), Malboro (500 karton) dan D’Samsu (20 karton).

“Selain itu, sebuah bot fiber berserta kunci dan enjin jenama Yamaha 200hp turut disita,” katanya.

Tambah beliau,  nilai keseluruhan barangan yang disita lebih kurang RM150,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan kesemua barang yang disita dibawa ke Unit Siasatan Maritim Selangor unuk tindakan lanjut,” katanya.