SHAH ALAM-Sebuah bangunan yang dijadikan kedai motosikal hangus dalam kejadian kebakaran di Taman Klang Utama, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.29 pagi tadi.

Dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Kota Raja ke lokasi kejadian.

"Didapati sebuah rumah kedai berkeluasan 20 x 70 kaki persegi terbakar hampir 80 peratus.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.55 pagi. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.