AMPANG – Penduduk di Taman Bukit Teratai bimbang banjir lumpur yang pertama kali dialami mereka kelmarin, berulang jika tiada tindakan drastik daripada pihak berkenaan.

Penduduk, Mohammad Azam Othman berkata, kawasan hutan berhampiran kediaman mereka ditarah oleh kontraktor untuk pembinaan projek lebuh raya.

“Apabila hutan itu ditarah dengan keluasan yang luas, apakah ia dapat menampung kapasiti hujan lebat, ia merupakan kejadian banjir lumpur paling teruk di kawasan perumahan ini sejak hutan itu ditarah pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, kejadian ini boleh dianggap sebagai amaran jika tidak ada tindakan segera yang diambil oleh pihak berkenaan.

“Kita khuatir kejadian yang tidak diingini dan lebih besar berlaku apabila hujan lebat berlarutan selama empat jam. Penduduk hidup dalam kebimbangan kini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohamad Samat berkata, bencana sebegini tidak sepatutnya berlaku jika kontraktor mematuhi syarat-syarat pembangunan.

“Saya kesal, pihak kontraktor sewajarnya mengambil berat kejadian yang bakal berlaku, sebelum ini saya telah bangkitkan perkara berkenaan dalam mesyuarat bersama MPAJ,” katanya.

Menurutnya, beliau  mohon semua pihak yang terlibat mengambil tindakan sewajarnya agar bencana sebegini tidak berulang.

“Kolam tadahan sedia ada di tapak projek berkemungkinan tidak dapat menampung kapasiti hujan, walaupun hujan lebat hanya 40 minit. Saya tidak dapat bayangkan, jika hujan lebat berlarutan beberapa jam, sudah tentu keadaan di lokasi menjadi lebih buruk lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pasukan bencana MPAJ yang bertindak segera membantu 17 mangsa yang kediaman mereka terjejas akibat banjir lumpur tersebut.

“Saya juga mohon kontraktor bertindak segera bagi mengatasi masalah ini supaya ia tidak berulang, saya juga gesa MPAJ memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan kolam sedia ada itu dinaik taraf,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, MPAJ telah membantu kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

“Saya telah dimaklumkan Adun Teratai, Tiew Way Keng telah memanggil pemaju projek dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (MPAJ) bagi membincangkan isu banjir.

"Manakala MPAJ telah keluarkan ‘stop work order’ kepada pemaju projek berkenaan. LLM juga akan membuat pemantauan yang lebih kerap terhadap projek itu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dengan ketara apabila jumlahnya hingga tengah hari ini berkurangan sekitar 536 orang berbanding 1,012 malam semalam.
  • KUCHING - Banjir di Sarawak kian beransur pulih setakat pukul 8 malam ini apabila mangsa banjir menurun kepada 3,173 mangsa daripada 991 keluarga yang masih berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian.
  • KUCHING - Sejumlah RM32 juta diperlukan untuk menangani masalah banjir akibat fenomena air pasang besar di Sebuyau, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan pengurangan kepada 4,686 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,679 mangsa tengah hari tadi.