BALAKONG - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam didesak memberi penjelasan berhubung isu pembatalan subsidi bantuan perubatan oleh Kementerian Kesihatan.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, isu tersebut perlu dijawab memandangkan peruntukan yang diberi kepada kementerian kesihatan meningkat sebanyak 9.5 peratus atau RM1.7 bilion dari RM26.58 bilion ke RM27 bilion bagi tahun ini.

“Pekeliling daripada Jabatan Kewangan Hospital Kebangsaan Malaysia bertarikh 28 Januari menyatakan tatacara, perlaksanaan ketetapan dan kadar caj dialisis dan unit nefrologi dipinda. Semua rawatan dialisis di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz dan PPUKM adalah berbayar bagi semua kategori pesakit sama ada pesakit dalam atau luar kecuali pegawai perkhidmatan awam yang masih berkhidmat.

“Sebelum ini, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) diberi pengecualian bayaran bagi kategori berkenaan,” katanya.

Menurut Eddie Ng, dalam Bajet 2018 di Dewan Rakyat dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion untuk bekalan ubat-ubatan, RM1.6 bilion untuk barangan consumable dan sokongan perubatan, perkara ini adalah bercanggah dengan pekeliling tersebut.

“Seorang pesakit OKU berusia 29 tahun mengadu kepada saya dia dimaklumkan tidak akan diberikan pengecualian caj rawatan (plasmapheresis + variants) yang bernilai RM1,500 mulai 1 Februari lalu.

“Bayaran tersebut membebankan pesakit kerana mereka perlu jalani rawatan sekali seminggu. Kerajaan sepatutnya membantu meringankan beban rakyat tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya,” katanya.

Eddie Ng mendesak Subramaniam memandang serius perkara ini dan memperbetulkan keadaan dengan serta-merta supaya rakyat tidak menderita.