HULU SELANGOR - Pemuda Pas Hulu Selangor menerima keputusan PRU14 lalu dengan reda dan mengakui wujud kelemahan dalam gerak kerja parti itu.

Ketuanya, Amri Abdullah Sani mendakwa, pihaknya gagal menjawab dengan baik fitnah yang terlalu banyak dilemparkan kepada parti itu bermula sebelum Parlimen dibubarkan sehingga tempoh berkempen.

“Tsunami rakyat jelas mahu menolak BN secara total dan fitnah Pas kononnya bersama dengan Umno BN adalah antara sebab kami juga ditolak oleh rakyat terutama di Selangor.

“Dewan Pemuda Pas Kawasan Hulu Selangor akan melakukan post-mortem secara menyeluruh di peringkat Parlimen Hulu Selangor dan tiga Dun di bawahnya.

“Saya ucap tahniah kepada Pakatan Harapan dan mengharapkan mereka akan melaksanakan segala manifesto mereka di peringkat negeri dan negara,” katanya.

Amri berkata, Pemuda Pas akan menjadi pihak yang mengikuti rapat setiap inci perkembangan tersebut dengan menyokong perkara baik dan menegur tindakan salah dengan memberi cadangan alternatif.