HULU LANGAT - Sejumlah 325 juta liter sehari (MLD) akan dibekalkan menerusi projek Lori Rawatan Air (LRA) Langat 2 fasa pertama yang bakal siap pada November ini.

Perkembangan pembinaan LRA terbesar di Asia Tenggara itu sekaligus memanfaatkan sejuta pengguna Lembah Klang seterusnya menjadi sinar penyelesaian terhadap krisis air yang melanda Selangor.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, penyelesaian isu air di Selangor mampu terus diperkasakan apabila LRA Langat 2 siap sepenuhnya pada 2022.

Menurutnya, LRA Langat 2 mampu menyumbang kepada pertambahan bekalan air sebanyak 1,130 MLD sehari kepada penduduk Lembah Klang.

"Apabila siap fasa pertama, bekalan air mentah dari Pahang sebanyak 325 juta liter itu akan menambahkan rizab bekalan air kepada tujuh peratus di Selangor. Ketika ini kita hanya mempunyai simpanan rizab sekitar tiga peratus saja dan itu tidak mencukupi.

"Apabila siap sepenuhnya pada 2022, pertambahan bekalan kepada 1,130 juta liter sehari mencukupi untuk penduduk di Lembah Klang sehingga tahun 2025 sekali gus menyelesaikan krisis bekalan air.

"Berdasarkan statistik pada tahun 2014, penduduk di Selangor memerlukan 4,907 juta liter air sehari sedangkan kapasiti pengeluaran hanyalah 4,431 juta liter sehari menerusi 34 LRA di seluruh negeri," katanya pada sidang media sempena lawatan ke tapak pembinaan LRA Langat 2 di sini hari ini.