PUCHONG – Tidak padan dengan berjalan menggunakan dua tongkat, seorang lelaki sanggup naik ke tingkat empat sebuah bangunan komersil di sini bagi mempertaruhkan wang di pusat perjudian atas talian yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga.

Lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut antara 80 pelanggan pusat perjudian itu yang dicekup leka berjudi di enam premis diserbu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) lewat malam semalam.

Dalam operasi disertai tiga pegawai dan 52 anggota penguatkuasa MPSJ itu, 212 set komputer mempunyai perisian perjudian dirampas.

Turut dirampas 12 mesin permainan elektronik dan 24 mesin permainan pusat hiburan keluarga yang didapati berunsur perjudian.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu premis terletak di Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya.

Hasil pemeriksaan mendapati, premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah malah menjalankan aktiviti perjudian secara atas talian dan menggunakan mesin permainan elektronik.

“Premis ini berselindung di sebalik aktiviti pusat hiburan dan pusat siber, penyamaran terpaksa dibuat kerana anggota penguatkuasa sukar memasuki premis kerana mempunyai kod rahsia tertentu.

“Pengusaha ini masih berdegil, premis sama pernah tiga kali diserbu sebelum ini,”katanya penduduk termasuk bukan beragama Islam membuat rungutan rimas dengan kewujudan pusat perjudian berkenaan.

Beliau berkata, kesemua peralatan dirampas dan pengusaha berdepan tindakan denda maksimum RM1,000 di bawah Undang-undang Kecil Pusat Siber 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Pengusaha juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 6 (1), Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 (Pindaan 2001) kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada MPSJ dan berdepan denda maksimum RM25,000.

“Aktiviti perjudian memang melalaikan dan memberi kesan kepada masalah sosial, kita akui masalah ini tak dapat diselesaikan secara keseluruhan tapi usaha ke arah itu memang ada.

“Operasi dan serbuan akan dijalankan dari masa ke semasa terutama membabitkan kawasan hitam dengan  harapan aktiviti dapat dibasmi,” katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Keseronokan 12 lelaki tempatan menikmati permainan judi dalam talian dipercayai baru dibuka dua hari terencat selepas mereka ditahan pihak polis dalam sebuah serbuan Jumaat lepas.
  • MIRI - Polis Sarawak melancarkan fasa kedua ‘peperangan’ memerangi kegiatan judi haram dengan menumpukan serbuan ke atas penjualan 4D haram susulan kejayaan menghapuskan kegiatan judi mesin dan siber.
  • AMPANG - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan atau menarik balik lesen pusat hiburan keluarga serta-merta kerana khuatir ada dikalangan pemilik premis berkemungkinan menyalahgunakan lesen itu dengan membuka premis judi.
  • KUALA ROMPIN - Pakatan Harapan Rompin menggesa pihak berkaitan agar menghentikan permainan berunsur judi yang terdapat di tapak funfair Pesta Rompin (Rompin Fest) 2017 yang berlangsung di Pantai Hiburan, di sini.
  • KLUANG - Polis Kluang berjaya memberkas 499 termasuk penjaga dan pemain yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian atau online di daerah ini sepanjang Januari hingga bulan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.